Oleh Dr. Fazleen Izzany Abu Bakar, ChM Dr. Norhayati Muhammad, Dr. Munira Zainal Abidin, Dr. Nur Hafizah Malik

PAGOH – Seramai 23 pelajar program Ijazah Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) dan dua pelajar dari Pusat Pengajian Diploma (PPD), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya memperoleh sijil kompetensi penyembelihan ayam cara Islam dari Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) ketika menyertai kursus pada 23 Jun 2022.

Kursus sembelihan ayam anjuran FAST dengan kerjasama Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (iSWAJ), UTHM yang dijalankan secara amali ini dapat memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari dan mengetahui kaedah penyembelihan yang betul dan mematuhi syarak.

Pada tahun ini, kursus kompetensi ini juga dibuka kepada semua pelajar UTHM.

Amali penyembelihan ayam telah dikendalikan oleh Haji Nasri Haji Selamat dan Mohd Firdaus Abu Talib dari JAINJ.

Manakala satu lagi sesi ceramah mengenai amalan sembelihan yang baik diadakan secara dalam talian pada 26 Jun lalu yang disampaikan oleh penceramah, Zamari Mohd. Amin dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor (JPVNJ).

Hasilnya, kesemua pelajar yang menyertai kursus ini berjaya memperolehi sijil yang merupakan pra-syarat untuk memohon ‘Tauliah Penyembelih’ dan merupakan satu nilai tambah kepada pelajar bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan terutamanya dalam industri makanan setelah tamat pengajian kelak.

Perkara ini juga selaras dengan hasrat universiti yang inginkan setiap graduan mempunyai sekurang-kurangnya satu sijil kompetensi atau profesional sebelum bergraduan.

FAST amat berharap agar kursus seumpama ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang kerana ianya mampu menjadi salah satu faktor bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan terutamanya bagi program Ijazah Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) dengan Kepujian.