Oleh Prof. Madya Ts. Dr. Azrin Hani Abdul Rashid, Nurul Nabila Atiqa Ma’arof
PAGOH – Pejabat Pengurusan Makmal (PPM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Cawangan Pagoh melancarkan empat sistem dan portal digital yang dibangunkan menerusi kepakaran dalaman bagi memperkukuh tadbir urus 156 buah makmal dan lebih 8,000 aset di kampus berkenaan.
Empat inisiatif yang dilancarkan sempena Majlis Aspirasi Transformasi Digital PPM 2026 itu ialah Sistem LABs PPM, e-ChemReg, LabMap@Pagoh dan E-Catalogue Laboratory Assets.
Majlis pelancaran yang berlangsung pada 15 September 2026 lalu telah disempurnakan oleh Provost UTHM Pagoh, Profesor Ts. Dr. Abdul Mutalib Leman dan turut dihadiri Penolong Naib Canselor Digital dan Infrastruktur UTHM, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Irwan Juki serta wakil pengurusan universiti, fakulti dan pusat tanggungjawab.
Pengarah PPM UTHM Pagoh, Profesor Madya Ts. Dr. Azrin Hani Abdul Rashid berkata, inisiatif berkenaan dibangunkan bagi menangani keperluan pengurusan makmal yang semakin kompleks serta memerlukan proses kerja lebih pantas, telus dan berasaskan data.
“Pelancaran ini bukan sekadar memperkenalkan empat sistem dan portal, tetapi mencerminkan perubahan cara berfikir dan bekerja, daripada proses manual kepada digital, maklumat yang berselerak kepada data yang lebih tersusun, serta daripada pengguna teknologi kepada pencipta penyelesaian,” katanya.
Sistem LABs PPM memudahkan permohonan dan tempahan makmal secara dalam talian, penyelarasan jadual serta penjanaan laporan penggunaan.
Sementara itu, e-ChemReg menyediakan pengurusan inventori bahan kimia secara berpusat merangkumi pemantauan stok, capaian Helaian Data Keselamatan (SDS) dan Prosedur Kerja Selamat (SWP), notifikasi tarikh luput serta laporan inventori.
Sistem itu turut meraih Pingat Emas dan Anugerah Khas Industri di The International Research and Innovation Symposium Competition (RISE 2026), selain Pingat Emas dalam National Laboratory Innovation Seminar (NaLIS) 2026 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
LabMap@Pagoh pula membantu pengguna mengenal pasti lokasi makmal yang tersebar di beberapa blok dan aras, manakala E-Catalogue Laboratory Assets membolehkan carian peralatan berdasarkan jenis dan lokasi.
E-Catalogue turut menjadi medium mengetengahkan keupayaan makmal UTHM Pagoh kepada penyelidik, industri, agensi dan komuniti, sekali gus membuka peluang perkhidmatan teknikal, pengkomersialan makmal dan penjanaan pendapatan universiti.
Abdul Mutalib berkata, pembangunan sistem tersebut membuktikan inovasi bukan sahaja lahir daripada aktiviti penyelidikan, malah boleh diterjemahkan dalam pengurusan harian yang memberikan impak secara langsung kepada organisasi dan pengguna.
Menurut beliau, inisiatif itu berpotensi dijadikan contoh amalan terbaik kepada pusat tanggungjawab lain serta menjadi pemangkin kepada lebih banyak inovasi digital yang mampu meningkatkan produktiviti, mengurangkan birokrasi dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan universiti.
Usaha itu selari dengan pendigitalan sebagai salah satu daripada tiga mantera Global Technopreneur University 2030 (GTU2030) UTHM, selain keusahawanan dan penyahkarbonan.
Pembangunan inisiatif tersebut diterajui oleh Tc. Mohd Amin Saad, Muhamad Hisamuddin Pasori dan Ts. Haji Maizul Ishak dari Unit Digital dan Pengurusan Data PPM, serta sokongan pasukan pembangunan dalaman PPM.
PPM akan terus memperluas agenda pendigitalan ke pelbagai aspek pengurusan dan operasi makmal, di samping mempertingkat infrastruktur digital bagi menjamin keselamatan data, kestabilan sistem dan kelancaran perkhidmatan.
“Usaha tersebut diharap dapat memperkukuh peranan PPM sebagai organisasi yang memanfaatkan teknologi untuk mencipta nilai kepada universiti, industri dan komuniti,” tambah Abdul Mutalib.




