Oleh Dr. Siti Noor Fauziah Abd Rahim, Prof. Emeritus Dr. Jailani Md Yunos, Prof. Ts. Dr. Lai Chee Sern

PUTRAJAYA – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima Surat Penghargaan dan Tahniah atas kepimpinan serta komitmennya dalam menerajui Kursi UNESCO mengenai Pendidik TVET pada 18 September 2026 lalu.

Surat tersebut disampaikan oleh Menteri Pendidikan merangkap Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM), Datuk Seri Fadhlina Sidek, dalam Majlis Penyerahan Surat Penghargaan dan Tahniah serta Sesi Libat Urus Bersama Pemegang Kursi UNESCO di Malaysia yang berlangsung di Kompleks E, Putrajaya.

Dalam surat penghargaan tersebut, Menteri Pendidikan merakamkan penghargaan atas kepimpinan dan komitmen UTHM serta menyatakan bahawa pelaksanaan Kursi UNESCO berupaya memperkukuh kecemerlangan akademik, jaringan ilmu dan keupayaan negara dalam mendukung mandat UNESCO serta Agenda Pembangunan Mampan 2030.

Penghargaan berkenaan diterima oleh Pemegang Kursi UNESCO UTHM, Profesor Emeritus Dr. Jailani Md Yunos.

Turut hadir mewakili UTHM, Profesor Ts. Dr. Lai Chee Sern selaku Pemegang Bersama Kursi (Co-Chair) dan Dr. Siti Noor Fauziah Abd Rahim selaku Pegawai Komunikasi Kursi UNESCO UTHM.

Untuk rekod, UTHM secara rasmi dianugerahkan status Kursi UNESCO mengenai Pendidik TVET bagi tempoh empat tahun, bermula 30 Jun 2025 hingga 30 Jun 2029.

Mandat tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan pendidik TVET menerusi pengukuhan kemahiran transversal, pendidikan TVET inklusif gender dan penerapan kelestarian hijau.

Dalam tempoh lebih setahun sejak menerima mandat tersebut, Kursi UNESCO UTHM telah menterjemahkan fokus berkenaan melalui pelaksanaan beberapa inisiatif pembangunan kapasiti dan perkongsian ilmu pada peringkat nasional serta antarabangsa.

Antaranya termasuk International Workshop on Gender Inclusivity and Embracing Digitalization in TVET, AI-Amplified TVET Educator Workshop serta program pembangunan kapasiti untuk pegawai latihan vokasional dan pengurus TVET dari Iran.

Inisiatif berkenaan menyokong pembangunan profesionalisme TVET dan modal insan pada peringkat nasional dan serantau.

Pada peringkat komuniti, inisiatif Kursi turut merangkumi program pembangunan mampan dan inovasi hijau bersama sekolah, selain perkongsian ilmu berkaitan penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab serta pendidikan dan kebolehpasaran golongan orang kurang upaya (OKU).

Menurut Profesor Emeritus Jailani, pengiktirafan tersebut memberi dorongan kepada UTHM untuk memastikan mandat UNESCO terus diterjemahkan kepada manfaat yang lebih luas.

“Pengiktirafan ini amat bermakna kerana ia memberi dorongan kepada kami untuk terus memperkukuh peranan UTHM dalam pembangunan pendidik TVET.

“Bagi pihak kami, kejayaan Kursi UNESCO bukan sekadar pada pengiktirafan yang diterima, tetapi sejauh mana jaringan, penyelidikan dan kepakaran yang dibangunkan dapat diterjemahkan kepada program serta penyelesaian yang memberi manfaat kepada pendidik, institusi dan masyarakat,” katanya.

Dalam sesi libat urus tersebut, wakil setiap Kursi UNESCO turut membentangkan fokus, pencapaian dan impak pelaksanaan inisiatif masing-masing.

Majlis berkenaan menghimpunkan enam pemegang Kursi UNESCO iaitu UTHM, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Asia Pacific University of Technology and Innovation dan Universiti Malaya.

Pengiktirafan itu sekali gus menjadi pemangkin kepada fasa seterusnya Kursi UNESCO UTHM untuk melangkah daripada pembinaan jaringan kepada peluasan impak.

Dengan mandat sehingga 2029, UTHM bersedia memperluas kolaborasi global, penyelidikan dan pembangunan kapasiti, sekali gus membawa kepakaran TVET Malaysia lebih jauh ke pentas antarabangsa.