Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT, 29 Julai 2026 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melakar satu lagi langkah progresif dalam memperkukuh budaya kecemerlangan organisasi apabila melancarkan Program Walkabout dan Gotong-Royong Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) UTHM 2026, yang disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad, di Bilik Banquet, Dewan Sultan Ibrahim, hari ini.

Program yang julung kali diperkenalkan di peringkat universiti itu bertujuan memperkasa pelaksanaan EKSA melalui pendekatan lebih menyeluruh dengan memperluaskan pemantauan bukan sahaja di ruang pejabat, malah melibatkan kawasan awam, laluan pejalan kaki, kawasan parkir, landskap, kemudahan gunasama serta persekitaran bangunan universiti.

Inisiatif tersebut turut memperkenalkan konsep Walkabout EKSA, iaitu pendekatan proaktif bagi mengenal pasti isu berkaitan kebersihan, keselamatan, penyelenggaraan dan imej korporat secara lebih sistematik sebelum tindakan penambahbaikan dilaksanakan secara bersama.

Majlis pelancaran disusuli pelaksanaan simbolik walkabout dan gotong-royong melibatkan tiga lokasi utama iaitu Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB) sebagai model pelaksanaan awal sebelum diperluaskan ke seluruh Pusat Tanggungjawab (PTj) di UTHM.

Melalui pendekatan baharu itu, setiap dapatan hasil walkabout akan direkodkan menerusi Borang Pelaporan Walkabout dan Aduan EKSA UTHM sebelum tindakan pembetulan dilaksanakan oleh PTj berkaitan atau secara kolaboratif mengikut keperluan.

Program berkenaan juga menjadi persediaan awal universiti menghadapi Audit Integrasi EKSA 2026 yang dijadualkan bermula pada Ogos ini, sekali gus membudayakan amalan penambahbaikan berterusan dalam kalangan warga kampus.

Dato’ Sri Ibrahim dalam ucapan perasmiannya berkata, pelaksanaan EKSA tidak seharusnya dilihat sekadar memenuhi keperluan audit, sebaliknya perlu dijadikan budaya kerja yang diterapkan dalam setiap aspek pengurusan universiti.

“EKSA bukan sekadar memastikan tempat kerja bersih dan kemas, tetapi mencerminkan budaya kerja yang berintegriti, berdisiplin serta bertanggungjawab.

“Melalui pendekatan walkabout ini, kita bukan hanya mengenal pasti kelemahan, malah membina budaya mengambil tindakan segera demi mewujudkan persekitaran kampus yang lebih selamat, kondusif dan bertaraf dunia,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh warga UTHM agar menjadikan usaha menjaga kebersihan, keselamatan dan kelestarian kampus sebagai tanggungjawab bersama.

“Kejayaan EKSA bergantung kepada komitmen setiap warga universiti kerana apabila setiap individu memainkan peranan, kita bukan sahaja memperkukuh imej UTHM sebagai institusi pendidikan tinggi yang cemerlang, malah melahirkan ekosistem kerja yang menyokong produktiviti, inovasi dan kesejahteraan seluruh komuniti kampu,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali dalam ucapan alu-aluannya menyeru setiap warga universiti agar sentiasa mempunyai kesedaran untuk melakukan penambahbaikan secara berterusan demi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan dan imej organisasi.

“Program Walkabout EKSA ini membuka ruang kepada setiap PTj untuk melihat sendiri peluang melakukan kebaikan dan penambahbaikan di kawasan masing-masing.

“Pelaksanaan EKSA bukan tanggungjawab individu atau jawatankuasa tertentu sahaja, tetapi merupakan amanah yang perlu digerakkan secara kolektif oleh seluruh PTj agar budaya kecemerlangan, kebersihan dan kelestarian terus menjadi identiti warga UTHM,” ujarnya.

Pelaksanaan Program Walkabout dan Gotong-Royong EKSA 2026 itu dijangka menjadi pemangkin kepada pengukuhan budaya kualiti, penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap serta pengurusan persekitaran kampus yang mampan selaras dengan aspirasi UTHM untuk terus menjadi universiti teknikal bertaraf global.