Oleh Haszrinaz Husain @ Hashim, Munirah Mohd Yusof, Suriayati Baharom

KATHMANDU, NEPAL, 14 Sept 2026 – Seramai 11 warga Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang terdiri daripada lapan staf dan tiga pelajar berjaya menamatkan ekspedisi ke Annapurna Base Camp (ABC), Nepal pada ketinggian 4,130 meter, sekali gus membuktikan ketahanan fizikal, kekuatan mental dan semangat setiakawan warga universiti dalam mengharungi cabaran pada altitud tinggi.

Ekspedisi yang berlangsung dari 9 hingga 20 September 2026 itu diketuai oleh Dr. Mohamad Aizi Salamat dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), dengan penyertaan tujuh staf iaitu Profesor Ir. Dr. Md Saidin Wahab dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Lokman Hakim Jamil dari Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat (PPKK), Mohd Al Hafiz Nordin dan Munirah Mohd Yusof (FSKTM), Hanayanti Hafit (FSKTM), Ts. Dr. Anizam Mohamed Yusof dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) serta Haszrinaz Husain @ Hashim dari Pejabat Penasihat Akademik (PPA).

Turut menyertai ekspedisi berkenaan, tiga pelajar UTHM iaitu Muhammad Ikhwan Hafiz Adanan dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Mohd Fahmi Mohamad Diah dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) dan Maisara Batrisya Asmadi dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP).

Ekspedisi bermula dari Jhinu Danda menuju ke Lower Sinuwa dengan perjalanan selama kira-kira tujuh jam sebelum peserta meneruskan pendakian ke Deurali pada keesokan harinya.

Laluan sejauh kira-kira sembilan hingga 10 jam itu merentasi kawasan hutan buluh dan lembah sungai di sepanjang Modi Khola, sekali gus menguji stamina serta ketahanan para peserta.

Kemuncak ekspedisi dicapai pada 14 September apabila kesemua 11 peserta berjaya menjejakkan kaki di Annapurna Base Camp selepas menempuh laluan Santuari Annapurna selama kira-kira enam jam.

Kejayaan tersebut menjadi detik penting ekspedisi apabila para peserta dapat menikmati panorama pergunungan Annapurna pada ketinggian 4,130 meter.

Selepas mencapai ABC, pasukan meneruskan perjalanan menuruni laluan menuju ke Bamboo sebelum kembali ke Jhinu Danda dan seterusnya ke Pokhara pada 16 September.

Keseluruhan perjalanan sehingga 20 September memberi pengalaman mencabar yang menuntut disiplin, perancangan, ketahanan diri dan kerjasama berterusan dalam kalangan peserta.

Menurut Dr. Aizi, kejayaan menamatkan pendakian tersebut bukan sekadar pencapaian individu, sebaliknya mencerminkan nilai kebersamaan yang menjadi kekuatan warga UTHM.

“Perjalanan dalam keadaan cuaca sejuk serta laluan yang mencabar turut menguji keupayaan peserta untuk saling membantu, menjaga keselamatan dan memastikan setiap anggota pasukan dapat meneruskan perjalanan bersama,” katanya.

Penyertaan melibatkan gabungan staf dan pelajar itu juga memperlihatkan nilai pembinaan sahsiah serta kepimpinan di luar persekitaran akademik dan tempat kerja.

“Semangat setiakawan yang ditunjukkan sepanjang ekspedisi menjadi manifestasi bahawa kekuatan sesebuah pasukan terhasil melalui kepercayaan, disiplin dan komitmen bersama,” tambah beliau.

Kejayaan 11 warga UTHM menamatkan ekspedisi Annapurna Base Camp itu diharap dapat menjadi inspirasi kepada warga universiti untuk terus meneroka cabaran baharu, membina daya tahan diri serta mengamalkan budaya kerja berpasukan dalam mendukung aspirasi UTHM sebagai sebuah universiti teknikal yang berdaya saing di peringkat global.