Oleh Suriayati Baharom, Norhaslini Abd Alim, Aryanti Ahmad

BATU PAHAT, 18 Ogos 2026 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkukuh peranannya dalam memperkenalkan sejarah, perkembangan dan teknologi perkeretaapian kepada masyarakat menerusi Majlis Perasmian Galeri Interaktif Teknologi Kereta Api Johor yang berlangsung di Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA), kampus induk.

Majlis bersempena Program Rel Merdeka 69 di bawah penyelarasan Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat itu diadakan bagi meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan Ke-69 Peringkat UTHM.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh hadir menyempurnakan majlis perasmian galeri tersebut.

Galeri berkenaan mengetengahkan sejarah dan perkembangan teknologi kereta api di Johor melalui pendekatan pameran yang lebih interaktif, dengan menggabungkan elemen digital dan teknologi imersif bagi memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih menarik kepada pengunjung.

Menurut Mohamad Fazli, pembangunan galeri tersebut mencerminkan komitmen UTHM dalam menghubungkan ilmu, teknologi dan warisan sejarah kepada masyarakat, khususnya dalam memahami kepentingan sistem pengangkutan rel terhadap pembangunan negeri Johor.

”Galeri ini bukan sekadar ruang untuk mengenang sejarah perkeretaapian Johor, malah menjadi medium pendidikan yang menghubungkan sejarah dengan perkembangan teknologi masa kini.

”Usaha seperti ini penting dalam membina kefahaman generasi muda terhadap peranan sistem rel serta membuka ruang kepada mereka untuk mengenali bidang teknologi dan kejuruteraan rel dengan lebih dekat,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan berasaskan teknologi interaktif mampu menjadikan pembelajaran berkaitan sejarah dan teknologi rel lebih mudah difahami, khususnya oleh generasi muda yang dekat dengan persekitaran digital.

Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali berkata pembangunan galeri tersebut selari dengan aspirasi universiti untuk mengangkat kepakaran akademik dan teknologi UTHM agar dapat dimanfaatkan oleh masyarakat.

Katanya, UTHM melalui kepakaran dalam bidang kejuruteraan dan teknologi rel mempunyai keupayaan untuk menyumbang kepada pembangunan ekosistem pengangkutan rel negara, selain memperkasa pendidikan dan kesedaran masyarakat mengenai teknologi tersebut.

”Galeri ini menjadi salah satu platform yang menghubungkan ilmu akademik, teknologi, sejarah dan pengalaman pembelajaran dalam satu ruang yang lebih dekat dengan masyarakat.

”Ia juga memperlihatkan bagaimana kepakaran universiti boleh diterjemahkan dalam bentuk yang lebih mudah diakses dan difahami oleh khalayak,” katanya.

Galeri Interaktif Teknologi Kereta Api Johor merupakan salah satu inisiatif PTTA yang mengangkat bahan dan kandungan berkaitan sejarah serta teknologi kereta api Johor dalam bentuk pameran interaktif.

Platform pameran itu telah dibangunkan secara berperingkat dan turut disokong dengan pembangunan kandungan digital serta teknologi VR/AR.

Perkembangannya turut melibatkan pembangunan simulasi kereta api, termasuk sesi Training of Trainers bagi jawatankuasa simulasi kereta api yang dilaksanakan di galeri tersebut pada April 2026.

Selain berfungsi sebagai ruang pameran, galeri berkenaan turut berpotensi menjadi medium sokongan kepada pembelajaran dan pengembangan minat dalam bidang pengangkutan rel.

Pembangunan galeri interaktif itu merupakan hasil kerjasama strategik PTTA bersama penyelidik UTHM, agensi kerajaan dan rakan industri dalam usaha memelihara khazanah warisan serta memperkasa pendidikan berteraskan penerokaan.

Antara rakan strategik yang terlibat, fakulti dan Pusat Tanggungjawab di UTHM, RailX UTHM, MakerSpace@UTHM, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mas Rapid Transit (MRT), RTS Link, Arkib Negara Malaysia Cawangan Negeri Johor serta Galeri Sejarah Johor.

Pembangunan galeri itu sekali gus memperlihatkan sinergi antara kepakaran akademik, teknologi digital dan usaha pemeliharaan sejarah dalam mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih dinamik, selain menyokong usaha memperkenalkan bidang teknologi rel kepada generasi akan datang.

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Media Digital Johor (mediadigitaljohor.gov.my), 19 Ogos 2026: JOHOR PERKASA KEPAKARAN, BINA EKOSISTEM INDUSTRI REL MASA HADAPAN

JOHOR PERKASA KEPAKARAN, BINA EKOSISTEM INDUSTRI REL MASA HADAPAN

 

2. China Press (Johor) (page:  C3), 20 Ogos 2026: 心打造鐵路創新中心州政府擬集合各界協調

 

3. Johor China Press (johor.chinapress.com.my), 20 Ogos 2026: 州政府拟集合各界协调 打造铁路创新中心

State government plans to bring together various stakeholders to coordinate efforts in developing a railway innovation centre

 

4. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 5 September 2026: Galeri Interaktif Teknologi Kereta Api Johor perkasa penghayatan sejarah, teknologi rel