BATU PAHAT, 31 Julai 2026 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memperkenalkan penggunaan logo rasmi baharu yang disertakan dengan tulisan Jawi bagi perkataan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia sebagai satu langkah strategik dalam memperkukuh identiti universiti di samping memartabatkan tulisan Jawi sebagai warisan bangsa dan khazanah budaya negara.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong aspirasi kerajaan untuk memperkasakan penggunaan tulisan Jawi di institusi pendidikan tinggi, sekali gus mengangkat nilai sejarah, budaya dan jati diri negara dalam landskap pendidikan tinggi Malaysia.
Penggunaan tulisan Jawi pada logo rasmi bukan sekadar penambahbaikan dari aspek visual, malah membawa makna yang lebih mendalam sebagai simbol penghargaan terhadap warisan peradaban Melayu-Islam yang menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia.
Langkah itu juga selari dengan usaha UTHM untuk membentuk sebuah institusi yang progresif tanpa mengabaikan akar budaya dan nilai tradisi yang menjadi asas pembinaan tamadun.
Bagi memastikan pelaksanaannya berjalan secara tersusun dan berhemah, penggunaan logo baharu akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut tiga fasa.
Fasa pertama melibatkan medium digital dan bahan komunikasi rasmi yang tidak melibatkan atau hanya memerlukan kos minimum.
Fasa kedua memberi tumpuan kepada penggantian bahan bercetak, bahan promosi, cenderamata dan pakaian seragam secara berjadual tanpa menggantikan aset yang masih boleh digunakan.
Sementara itu, fasa ketiga melibatkan penggantian aset fizikal seperti papan tanda bangunan, pelekat logo kenderaan serta papan tanda kemudahan mengikut keutamaan dan peruntukan semasa.
Melalui pelaksanaan ini, UTHM yakin bahawa usaha memartabatkan tulisan Jawi mampu menyemarakkan lagi penghargaan terhadap warisan negara dalam kalangan warga universiti, di samping memperkukuh imej UTHM sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang mengimbangi kecemerlangan akademik, kemajuan teknologi dan pemeliharaan nilai-nilai budaya serta identiti nasional.
—
Dikeluarkan oleh:
Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Berita ini juga diterbitkan di:
1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 3 Ogos 2026: UTHM perkenal logo baharu berserta tulisan jawi, martabatkan warisan dan identiti universiti
UTHM perkenal logo baharu berserta tulisan jawi, martabatkan warisan dan identiti universiti
2. The Vocket (thevocket.com), 3 Ogos 2026: UTHM Tampil Wajah Logo Baharu Beridentitikan Jawi
3. Kool FM (koolfm.audio), 3 Ogos 2026: UTHM Tampil Wajah Logo Baharu Beridentitikan Jawi
4. Siakap Keli (siakapkeli.my), 3 Ogos 2026: UTHM Perkenal Logo Baharu Dengan Tulisan Jawi
https://siakapkeli.my/articles/uthm-perkenal-logo-baharu-dengan-tulisan-jawi
