Oleh Prof. Ts. Dr. Kamarulzaki Mustafa, Suriayati Baharom

MUAR – Anggota Askar Wataniah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya meraih empat anugerah utama sempena Majlis Penutup Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela Siri 4/2026 anjuran Rejimen 501, Askar Wataniah di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Muar, Johor, pada 17 Ogos 2026.

Pencapaian tersebut membuktikan penglibatan mahasiswa dan warga UTHM dalam pasukan sukarela bukan sahaja mampu membentuk ketahanan mental dan fizikal, malah turut menyumbang kepada pembangunan kepimpinan, disiplin serta jati diri yang menjadi nilai tambah kepada kecemerlangan akademik dan profesional.

Empat anugerah yang diraih anggota Askar Wataniah UTHM ialah Anugerah Penuntut Keseluruhan Terbaik yang dimenangi Perajurit Muda Julia Nur Damya Jefry, pelajar Diploma Kejuruteraan Awam; Anugerah Akademik Terbaik oleh Perajurit Muda Ahmad Amir Hamzi Ahmad, pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik; Anugerah Kawad Terbaik oleh Perajurit Muda Mohamad Danial Ikhwan Mamat, pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik; serta Anugerah Jasmani Terbaik yang diraih Perajurit Muda Amin Nur Rahman Rohaizat, pelajar Diploma Sains Gunaan.

Kesemua penerima merupakan pelajar UTHM yang berjaya menampilkan prestasi cemerlang sepanjang kursus yang berlangsung selama sebulan, termasuk menjalani latihan medan yang menuntut tahap disiplin, ketahanan fizikal dan mental yang tinggi.

Pencapaian tersebut turut mencerminkan keberkesanan penglibatan UTHM dalam menyokong pembangunan mahasiswa secara holistik menerusi platform Askar Wataniah yang menggabungkan elemen kepimpinan, kecergasan, disiplin dan semangat patriotisme.

Dalam pada itu, kursus berkenaan turut disertai dua warga UTHM yang telah berkeluarga iaitu Profesor Madya Ir. Dr. Farhanani Mahmud, pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik serta Azean Musfirah Rahim, Pembantu Pustakawan Kanan.

Kedua-duanya berjaya menamatkan latihan yang mencabar termasuk latihan berkawad, ujian kecergasan, latihan mengendalikan senjata, latihan menembak serta latihan medan di hutan.

Bagi Azean Musfirah, penyertaan dalam Askar Wataniah menjadi satu pencapaian peribadi selepas hasrat anak-anaknya untuk melihat beliau mengenakan pakaian seragam tentera akhirnya menjadi kenyataan.

“Walaupun terpaksa meninggalkan keluarga dan melalui latihan yang mencabar, semangat kerjasama dalam pasukan banyak membantu saya untuk terus bertahan sehingga berjaya menamatkan kursus.

“Paling bermakna apabila anak-anak akhirnya dapat melihat ibu mereka memakai pakaian tentera seperti yang mereka impikan,” katanya.

Sementara itu, Dr. Farhanani menyifatkan penyertaannya dalam Askar Wataniah sebagai peluang merealisasikan minat yang telah lama terpendam terhadap dunia ketenteraan.

“Antara pengalaman paling berharga sepanjang kursus ialah latihan mengendalikan senjata dan peluang menjalani latihan menembak.

“Pengalaman ini bukan sahaja menguji kemampuan fizikal, tetapi turut membina keyakinan, ketahanan mental dan disiplin diri,” katanya.

Majlis penutup kursus disempurnakan oleh Brig. Jen. Norazan Omar, Komander Rejimen 501 dan turut dihadiri Lt. Kol. Ahmad Tarmizi Mohd Eusoff, Timbalan Komander Rejimen 501; Lt. Kol. Megat Anuar Megat Ahmad, Penolong Pegawai Memerintah Batalion 2; Lt. Kol. Ardi Mat Zin, Penolong Pegawai Memerintah Batalion 1 serta Mej. (K) Prof. Ts. Dr. Kamarulzaki Mustafa, Penyelaras Askar Wataniah UTHM merangkap Ahli Turut Hadir Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Johor.

Majlis turut diserikan dengan persembahan pantomim oleh 35 peserta kursus serta majlis pemakaian pangkat kepada pegawai dan anggota lain-lain pangkat.

Brig. Jen. Norazan dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada peserta atas komitmen serta ketabahan yang ditunjukkan sepanjang menjalani latihan, khususnya kepada anggota yang telah berkeluarga dan terpaksa mengorbankan keselesaan serta masa bersama keluarga.

Beliau berharap penglibatan dalam Askar Wataniah dapat terus menjadi platform membina generasi muda yang berdisiplin, berdaya tahan dan bersedia menyumbang kepada pertahanan negara menerusi konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).

Penyertaan warga UTHM dalam Askar Wataniah selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten dalam bidang akademik dan teknologi, tetapi turut memiliki nilai kepimpinan, ketahanan diri, disiplin serta semangat patriotisme yang tinggi.

.