Oleh TPP Dr. Anim Zalina Azizan, Timbalan Komandan SISKOR UTHM

BATU PAHAT, 20 Ogos 2026 – Seramai 307 Pegawai Kadet Siswa Siswi Koreksional (SISKOR) daripada lima Universiti Awam (UA) berjaya menamatkan latihan dan ditauliahkan sebagai Inspektor Penjara dalam Majlis Pentauliahan dan Tamat Latihan SISKOR Universiti Awam Tahun 2026 yang berlangsung di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Komisioner Penjara Mohamad Rosidek Musa, Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan, yang turut menyaksikan istiadat pentauliahan serta perbarisan tamat latihan Pegawai Kadet SISKOR.

Program tersebut melibatkan penyertaan mahasiswa daripada UTHM, Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), sekali gus menjadi platform penting yang menghimpunkan mahasiswa daripada pelbagai wilayah dan latar belakang dalam satu wadah pembangunan sahsiah serta kompetensi koreksional.

Penganjuran di UTHM turut mencerminkan kepercayaan Jabatan Penjara Malaysia terhadap universiti berkenaan sebagai hos program SISKOR Universiti Awam Tahun 2026.

Untuk rekod, UTHM menjadi universiti keempat yang menganjurkan majlis pentauliahan dan tamat latihan SISKOR selepas UMK, UUM dan UniSZA.

SISKOR merupakan salah satu medium pembangunan mahasiswa yang memberi penekanan kepada semangat kesukarelawanan, kemahiran koreksional dan pembentukan nilai peribadi positif, di samping menjadi sebahagian daripada unit beruniform di lima Universiti Awam berkenaan.

Sepanjang program, para peserta bukan sahaja mengikuti latihan dan persediaan pentauliahan, malah turut didedahkan kepada aktiviti yang membina ketahanan fizikal, disiplin, kepimpinan, kerja berpasukan dan kemahiran teknikal melalui pertandingan kemahiran SISKOR serta aktiviti integrasi sosial.

Penganjuran itu turut memberi ruang kepada mahasiswa untuk memperkukuh Kemahiran Insaniah (KI) termasuk pengurusan maklumat, pembelajaran berterusan dan kemahiran komunikasi, selaras dengan keperluan melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan tetapi mempunyai keupayaan mengurus diri, berkomunikasi dan bekerja secara berpasukan.

SISKOR berjaya mengubah pengalaman kokurikulum mahasiswa kepada satu bentuk latihan kepimpinan dan profesionalisme yang mempunyai nilai tambah terhadap pembentukan modal insan, khususnya dari aspek disiplin, tanggungjawab, ketahanan diri dan keupayaan membuat keputusan dalam situasi mencabar.

Lebih signifikan, pentauliahan sebagai Inspektor Penjara memberikan pengiktirafan terhadap kompetensi dan komitmen mahasiswa yang telah melalui latihan secara berstruktur, sekali gus memberi mereka pengalaman unik untuk memahami ekosistem koreksional serta peranan nilai kemanusiaan dalam proses pemulihan dan pembangunan insan.

Program itu juga memberi impak yang tinggi dari sudut integrasi nasional apabila mahasiswa daripada lima universiti awam dihimpunkan dalam satu platform untuk berkongsi pengalaman, membina jaringan persahabatan dan kepimpinan serta bersaing secara sihat dalam bidang kemahiran koreksional.

Majlis pentauliahan itu sendiri menekankan aspek integrasi nasional melalui semangat kesukarelawanan, kerjasama berpasukan dan persaingan sihat.

Pada masa sama, penglibatan mahasiswa daripada lima UA membuktikan bahawa aktiviti unit beruniform mampu menjadi platform pembinaan karakter rentas universiti yang melangkaui batas institusi, sekali gus menyemai rasa kebersamaan, patriotisme dan tanggungjawab terhadap masyarakat serta negara.

Penganjuran program itu turut menyaksikan pemakaian pangkat kehormat kepada Prof Ir. Ts. Dr. Mohd Irwan Juki, Penolong Naib Canselor (Digital & Infrastruktur) sebagai Penolong Komisioner Penjara merangkap Penaung SISKOR UTHM.

Menurut Prof. Mohd Irwan, pengalaman SISKOR itu dilihat mampu melahirkan graduan yang lebih berdisiplin, berdaya tahan, berani memikul tanggungjawab serta mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi.

“Elemen tersebut selari dengan matlamat program untuk membentuk mahasiswa yang kreatif dan inovatif, bertanggungjawab, mempunyai ketaatan serta semangat cintakan tanah air,” katanya.

Tambah beliau, majlis pentauliahan itu juga menjadi simbol kejayaan hasil kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan Tinggi, Jabatan Penjara Malaysia dan Universiti Awam, khususnya dalam memperkukuh agenda pembangunan mahasiswa melalui aktiviti kokurikulum berimpak tinggi.

“Program ini dirangka bukan sekadar sebagai acara pentauliahan, tetapi sebagai medan menilai keberkesanan pelaksanaan SISKOR di peringkat nasional.

“Dengan pentauliahan 307 Inspektor SISKOR pada tahun ini, program ini  mempunyai potensi besar untuk terus diperkasa sebagai model pembangunan kepimpinan mahasiswa berasaskan disiplin, kemahiran teknikal, kesukarelawanan dan nilai kemanusiaan, sekali gus menyumbang kepada pembentukan generasi muda yang lebih kompeten, berintegriti dan bersedia untuk berbakti,” katanya.