Oleh Suriayati Baharom

SUNGAI BULOH, 19 Ogos 2026 – Program School Treasure Hunt Adventure – Selangor We Are the Champions (STARS) 2026 diperkenalkan sebagai satu inisiatif strategik yang menggabungkan elemen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam usaha mencungkil serta membangunkan bakat muda Selangor, khususnya dalam bidang teknologi dan industri rel.

Program yang merupakan usaha sama antara Kerajaan Negeri Selangor, Metro System Academy (MSA) UTHM, MRT Corp, Rapid Rail Sdn. Bhd. dan Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC) UTHM itu melibatkan pelajar penyertaan Tingkatan 4 dan 5 dari 10 daerah di negeri Selangor menerusi aktiviti treasure hunt di rangkaian stesen Mas Rapid Transit (MRT) terpilih.

Peluncuran STARS 2026 disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari bersempena dengan Sambutan Bulan Kebangsaan ke-69 Peringkat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) 2026 yang diselaraskan oleh Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat.

Dato’ Seri Amirudin berkata, STARS 2026 merupakan pendekatan kreatif dalam memperkenalkan bidang TVET, STEM dan industri rel kepada generasi muda, selain memberi pendedahan awal kepada mereka mengenai peluang pendidikan dan kerjaya yang tersedia.

“Kita mahu anak-anak muda Selangor bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut memiliki kemahiran, daya kreativiti dan keberanian untuk meneroka bidang teknologi serta industri masa hadapan.

“STARS 2026 menjadi satu platform yang menarik kerana pembelajaran berlaku secara langsung melalui pengalaman, penyelesaian masalah dan penerokaan sistem pengangkutan awam,” katanya.

Menurut beliau, kerjasama strategik antara kerajaan negeri, institusi pendidikan dan pemain industri seperti ini penting bagi memastikan pembangunan bakat dapat dilaksanakan secara lebih tersusun serta selari dengan keperluan ekonomi dan pasaran pekerjaan masa hadapan.

Program STARS 2026 bukan sekadar memberikan pengalaman pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan, malah berperanan sebagai platform pembangunan bakat dan talent feeder dengan mendedahkan pelajar kepada bidang TVET, STEM, teknologi dan industri rel.

Menerusi pendekatan tersebut, para peserta berpeluang mengenali dengan lebih dekat aspek teknologi, kejuruteraan, inovasi serta operasi sistem pengangkutan rel, sekali gus membina kesedaran terhadap laluan pendidikan tinggi dan prospek kerjaya dalam bidang berkaitan.

Dalam pada itu, majlis turut menyaksikan gimik peluncuran nama baharu MSA UTHM kepada RailX UTHM, sebagai langkah memperkukuh penjenamaan pusat berkenaan sebagai sebuah pusat kecemerlangan dalam pembangunan bakat dan kompetensi industri rel.

Penjenamaan baharu RailX UTHM membawa aspirasi untuk memperluas peranan universiti dalam pendidikan, penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat berkaitan industri rel, bukan sahaja di peringkat nasional malah ke peringkat global.

Prof. Mas Fawzi berkata, penjenamaan RailX UTHM merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh identiti dan kedudukan UTHM sebagai universiti yang menerajui bidang teknologi serta pembangunan bakat berimpak tinggi.

“RailX UTHM bukan sekadar perubahan nama dan identiti, tetapi mencerminkan aspirasi yang lebih besar untuk membina sebuah ekosistem kecemerlangan rel yang menghubungkan pendidikan, penyelidikan, inovasi, industri dan pembangunan bakat,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan penyerahan buku hasil penerbitan kerjasama RailX UTHM dan Universiti Putra Malaysia (UPM) bertajuk Shaping the Future of Sustainable Mobility & Connectivity kepada Menteri Besar Selangor.

Buku berkenaan menghimpunkan hasil kajian, penulisan dan perkongsian ilmu berkaitan bidang rel, pengangkutan serta mobiliti mampan yang melibatkan penyelidik dari dalam dan luar negara.

Sebanyak tujuh naskhah buku turut diserahkan kepada Perpustakaan Negara Malaysia untuk dijadikan sebagai bahan rujukan ilmiah dalam bidang pengangkutan, mobiliti dan pembangunan rel.

Pelaksanaan STARS 2026 dan penjenamaan RailX UTHM sekali gus memperlihatkan pendekatan UTHM dalam membina kesinambungan antara pendidikan, teknologi, industri dan pembangunan bakat, selaras dengan keperluan negara untuk melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran, kreatif dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.