Oleh Ir. Dr. Ahmad Hamdan Ariffin

PASIR SALAK – Pasukan UTHM Rocketeers dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melakar kejayaan cemerlang apabila dinobatkan sebagai johan bagi kategori Roket 1 Kilometer (km) dan CanSat peringkat universiti dalam Pertandingan Malaysia Rocket CanSat Competition (MRCC) 2026 yang berlangsung di Felcra Seberang Perak pada 8 hingga 10 September 2026.

Kategori yang dimenangi UTHM Rocketeers menyaksikan persaingan sengit daripada institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa.

Pasukan AYASIB Rocketry Team dari Ateneo de Davao University, Filipina meraih naib johan, manakala pasukan Aeronyx dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pula menduduki tempat ketiga.

Untuk rekod, peringkat akhir MRCC 2026 telah menghimpunkan sebanyak 104 pasukan yang membabitkan 425 pelajar serta 152 mentor dari pelbagai peringkat sekolah dan universiti tempatan mahupun antarabangsa.

Majlis perasmian penutup pertandingan berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta teknologi aeroangkasa itu telah berlangsung di Dewan Besar Bandar Baru Seberang Perak, Pasir Salak dan telah disempurnakan oleh Pengarah Planetarium Negara, Mohd Zamri Shah Mastor yang mewakili Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Pasukan UTHM Rocketeers yang dibimbing oleh penasihat pasukan, Ir. Dr. Ahmad Hamdan Ariffin itu dianggotai oleh tiga pelajar iaitu Mohammad Aliff Faris Khairul, Muhammad Hakimi Zukiman dan Muhammad Faizrul Akmal Timbang dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

Menurut Dr. Ahmad Hamdan, kejayaan itu membuktikan keupayaan dan kemahiran tinggi mahasiswa UTHM dalam mereka bentuk, membangunkan serta menguji teknologi roket perum dan satelit ringkas di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Pertandingan seperti MRCC ini bukan sahaja menguji kebolehan teknikal dan daya inovasi pelajar dalam bidang aeroangkasa, malah membuka ruang kolaborasi serta pemindahan ilmu yang sangat bernilai,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa pencapaian ini memberi suntikan semangat baharu kepada seluruh warga UTHM untuk terus komited meneroka bidang teknologi angkasa lepas dan memperkasakan pendidikan STEM demi kemajuan negara.

 

Berita ini juga mendapat liputan :

  1. BERNAMA, https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2605680