KUALA LUMPUR, 18 Ogos 2026 – Pelajar Pusat Pengajian Diploma (PPD), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melakar kejayaan membanggakan apabila meraih pingat emas dan gangsa dalam pertandingan berprestij BEM Young Engineering Innovation Trophy bersempena BEM National Engineering Convention (NEC) 2026 yang berlangsung di Royale Chulan Hotel, Kuala Lumpur.
Kehadiran wakil PPD menerusi Kategori Dublin Accord mencuri perhatian juri menerusi hasil inovasi berimpak tinggi dan berdaya saing.
Pingat Emas berjaya diraih menerusi projek bertajuk Rainwater Harvesting Dual-Source Smart Irrigation System Powered by Solar.
Projek inovatif itu dihasilkan oleh kumpulan pelajar Yong Weng Xiong, Daniel Khaw Jun Zhe dan Tan Yi Xian di bawah bimbingan penyelia, Tuan Mohd Hafeez Tuan Ibrahim. Inovasi ini memfokuskan kepada sistem pengairan pintar berkuasa solar yang memanfaatkan sumber air hujan.
Sementara itu, Pingat Gangsa diraih oleh Eugene Lee Chee Keong menerusi projek bertajuk IoT-Based Water & Air Quality Monitoring System Using LoRa Communication yang diselia oleh Dr. Muhammad Faizal bin Ismail.
Inovasi itu memanfaatkan teknologi IoT untuk pemantauan kualiti air dan udara secara masa nyata.
Atas kecemerlangan tersebut, kesemua pemenang membawa pulang trofi serta hadiah wang tunai.
Trofi utama telah disampaikan oleh Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi pada Majlis Anugerah Kejuruteraan dan Penghargaan Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) yang berlangsung di Royale Chulan Kuala Lumpur pada 23 Ogos 2026 lalu.
Pertandingan anjuran Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) yang menghimpunkan penyertaan institusi pengajian tinggi dari seluruh negara itu bertujuan menguji keupayaan teknikal serta melahirkan bakat kejuruteraan yang berfikiran kritis.
Selain aspek teknikal dan inovasi, kelestarian turut menjadi antara pertimbangan utama dalam penilaian dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjadi elemen penting dalam kriteria pengadilan.
Projek dinilai secara menyeluruh berdasarkan penerapan aspek kelestarian dalam penyelesaian yang dicadangkan, di samping kebolehgunaan serta potensi impaknya kepada masyarakat dan industri.
Pencapaian itu membuktikan keupayaan pelajar diploma dalam melahirkan inovasi kejuruteraan bernilai tinggi di peringkat kebangsaan.

