51 Pegawai Kadet PALAPES UTHM ditauliah, Megat Muhammad Irfan dinobat Pegawai Kadet Terbaik

Oleh Suriayati Baharom

ARAU – Seramai 51 Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ditauliahkan sebagai Pegawai Muda dalam Istiadat Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam (UA) Ke-44 Tahun 2026 yang berlangsung di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Arau pada 12 September lalu.

Lebih membanggakan, Leftenan Muda Megat Muhammad Irfan Megat Albakish, Pegawai Kadet PALAPES UTHM turut menerima pengiktirafan sebagai Pegawai Kadet Terbaik PALAPES UTHM Tahun 2026, sekali gus menyerlahkan pencapaian dan kecemerlangan beliau sepanjang mengikuti latihan PALAPES.

Pengiktirafan tersebut diberikan berdasarkan pencapaian, kepimpinan, disiplin serta komitmen yang ditunjukkan sepanjang tempoh latihan, mencerminkan kualiti dan keupayaan Pegawai Kadet PALAPES UTHM dalam membentuk jati diri serta kepimpinan sebagai pegawai muda.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bersama Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan bercemar duli menyempurnakan Istiadat Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet PALAPES UA Ke-44.

Istiadat yang melibatkan seramai 1,885 Pegawai Kadet daripada 20 UA seluruh negara itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman.

Dalam istiadat tersebut, seramai 39 Pegawai Kadet Terbaik bagi setiap perkhidmatan turut menerima Anugerah Pedang Kehormat sebagai pengiktirafan terhadap prestasi dan kecemerlangan yang dicapai sepanjang menjalani latihan PALAPES.

Bagi UTHM, seramai 51 Pegawai Kadet yang ditauliahkan ditempatkan di Detasmen 10, iaitu detasmen gabungan bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS), manakala empat Pegawai Kadet UTHM yang lain ditumpangkan ke Detasmen 11 dan Detasmen 13.

Selain pengurniaan Watikah Tauliah, istiadat turut disusuli dengan bacaan Ikrar Taat Setia Perwira sebagai simbol kesediaan dan kesetiaan para pegawai yang ditauliahkan untuk melaksanakan amanah serta tanggungjawab kepada pasukan masing-masing.

Pentauliahan itu menjadi titik permulaan kepada para Pegawai Muda PALAPES UTHM untuk membawa nilai disiplin, integriti, kepimpinan dan kesetiaan yang diterapkan sepanjang latihan ke dalam kehidupan serta khidmat mereka kepada negara.

Kejayaan Megat Muhammad Irfan pula menjadi satu pencapaian yang membanggakan UTHM, selain menjadi inspirasi kepada generasi Pegawai Kadet yang bakal meneruskan legasi kepimpinan serta perkhidmatan kepada negara.

Artikel Berkaitan

Terkini