Oleh Prof. Madya Ts. Dr. Peniel Ang Soon Ern, Ts. Dr. Kamarul Aini Mohd Sari
PUTRAJAYA – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerusi Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) berjaya meraih tempat kedua bagi Kategori Akademik dalam Pertandingan Kebangsaan 2nd 4D Malaysia BIM Day 2026, sekali gus menjadi tahun ketiga berturut-turut fakulti berkenaan mencipta kejayaan dalam pertandingan Building Information Modeling (BIM) peringkat kebangsaan.
Anugerah tersebut diterima pada Majlis Makan Malam dan Anugerah Apresiasi BIM Malaysia yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan di Kompleks Perbadanan Putrajaya pada 14 September 2026 lalu.
Pencapaian itu menyaksikan UTHM berada dalam kelompok tiga terbaik negara bersama Universiti Sains Malaysia (USM) yang meraih tempat pertama dan Universiti Malaya (UM) di tempat ketiga.
Pertandingan itu turut menyaksikan persaingan sengit melibatkan 10 pasukan finalis daripada universiti terkemuka di Malaysia.
Bertemakan BIM Beyond Design, UTHM diwakili dua pelajar tahun tiga FTK, Muhammad Hidayat Fikri Asmrad dan Muhammad Haziq Hafizie Ruzaimi, di bawah seliaan Profesor Madya Ts. Dr. Peniel Ang Soon Ern dan Ts. Dr. Kamarul Aini Mohd Sari.
Pertandingan 4D BIM tersebut menguji keupayaan peserta dalam mengaplikasikan teknologi pembinaan digital menerusi integrasi pemodelan BIM, penyelarasan model, simulasi pembinaan serta penjadualan projek menggunakan pelbagai platform perisian industri.
Antara perisian yang digunakan termasuk Autodesk Revit, Autodesk Navisworks, Bentley SYNCHRO 4D serta Primavera P6/Microsoft Project, selain menuntut penguasaan kompetensi teknikal BIM dan pengurusan projek pembinaan.
Menurut Dekan FTK, Profesor Madya Ts. Dr. Jumadi Abdul Shukor, pencapaian tersebut mencerminkan kecemerlangan berterusan pelajar FTK dalam bidang BIM dan pendigitalan industri pembinaan.
“Pencapaian ini membuktikan keupayaan pelajar FTK dalam menguasai teknologi BIM serta pengurusan projek pembinaan yang selari dengan keperluan dan agenda pendigitalan industri.
“Penerapan elemen BIM dalam kursus akademik serta pensijilan kompetensi turut memperkukuh kemahiran teknikal, jati diri dan kebolehpasaran graduan UTHM agar lebih bersedia memenuhi tuntutan industri pembinaan yang semakin berteraskan teknologi digital,” katanya.
Kejayaan tersebut turut memperlihatkan komitmen FTK dalam memperkasa kompetensi digital dan kemahiran teknologi dalam kalangan pelajar, selaras dengan aspirasi UTHM untuk melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang kepada transformasi industri dan pembangunan teknologi negara.






