Oleh Khuneswari A/P Gopal Pillay

Seramai 355 peserta terdiri daripada pelajar dan staf Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya mendapat pengiktirafan selepas menyertai program ‘Get Skilled for Employer Choice’ (GSEC) yang berlangsung pada April hingga Jun 2022 di bawah Akademi Intelek dan Data Analitik (AI.DA), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST).

Program GSEC adalah satu inisiatif tajaan Microsoft yang mensasarkan untuk melatih 350 pelajar dalam tempoh tiga bulan yang melibatkan tiga pensijilan profesional Microsoft iaitu Microsoft Azure Fundamentals (Az-900), Microsoft Azure AI Fundamentals (AI-900) dan Microsoft Azure Data Fundamentals (DP-900).

Program bersama jurulatih bertauliah Profesor Madya Ts. Dr. Aida Mustapha dan Dr. Khuneswari A/P Gopal Pillay ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada semua fakulti di UTHM yang berteraskan sains dan kejuruteraan, pendidikan, teknologi maklumat dan bahasa dari pelbagai peringkat pengajian iaitu diploma, ijazah sarjana muda, ijazah dan juga doktor falsafah.

Menurut salah seorang peserta, Janifal Alipal yang baru sahaja menamatkan pengajian doktor falsafah dalam bidang Teknologi Kejuruteraan, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi, kursus yang ditawarkan oleh AI.DA sangat komprehensif.

“Sebelum mengenali AI.DA, pengetahuan saya berkaitan Microsoft Azure sangat terhad dan kurang berfokus.

“Walaupun laman sesawang Microsoft, mereka telah menyediakan dokumentasi lengkap berkaitan cara mempelajari Microsoft Azure secara terperinci, namun AI.DA menjadikan proses pembelajaran saya menjadi lebih teratur dan berkesan,” katanya.

AI.DA mengelola kelas secara berfokus mengikut fasa pembelajaran yang betul, fundamental, associate dan seterunya specialist.

Pembelajaran berfasa yang ditawarkan oleh AI.DA bersifat hands-on.

Tambah Janifal, AI.DA menjadi platform komunikasi secara terus bersama tenaga pengajar yang sangat berpengalaman dan berpengetahuan.

Selain mendapat sambutan dalam kalangan pelajar, staf UTHM juga tidak melepaskan peluang untuk mengambil peperiksaan pensijilan profesional Microsoft.

Ts. Dr. Nan Mad Sahar, pakar dalam bidang Deep Learning and Augmented Reality dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, UTHM berpendapat pensijilan profesional adalah amat penting bagi membuktikan kredibiliti dalam melaksanakan tugas dan menyampaikan ilmu.

“Melalui AI.DA, proses mendapatkan pensijilan profesional Microsoft menjadi mudah, ditambah pula tenaga pengajar sentiasa memberi komitmen yang tinggi,” katanya.

Sijil profesional memberi nilai tambah kepada kredibiliti seseorang pelajar melalui komitmen mereka melatih diri serta lulus peperiksaan profesional sebagai persediaan sebelum masuk ke alam pekerjaan.

Di FAST, Akademi Intelek dan Data Analitik (AI.DA) telah menerima mandat untuk melatih dan mensijilkan seramai 500 pelajar dan staf setiap tahun melalui program Pensijilan Profesional Microsoft.

Kejayaan besar program GSEC ini telah menyumbang kepada kesedaran tentang kepentingan pensijilan profesional dalam bidang data, kecerdasan buatan serta teknologi awan yang menjadi sebahagian daripada agenda negara.