BIDOR –  Prihatin dengan kebajikan dan keperluan masyarakat, Panel Fizik Gunaan, Jabatan Fizik dan Kimia, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Gading Kencana Sdn. Bhd. telah melaksanakan program kemasyarakatan bersama anak-anak orang asli di Sekolah Kebangsaan Kampung Senta, Bidor pada 24 Jun 2022 lalu.

Gading Kencana yang merupakan salah satu syarikat yang terkenal dengan teknologi solar turut bekerjasama dengan UTHM, menzahirkan keprihatinan mereka terhadap peluang pembelajaran anak-anak orang asli.

Program yang disertai oleh 94 pelajar dan enam guru program ini bertujuan untuk memberi bantuan pendidikan dalam bentuk kit modul pembelajaran sebagai alat bantu mengajar kepada para pelajar sekolah terbabit.

Program ini telah dijayakan oleh Ketua Program Fizik Gunaan, Dr. Afishah Alias dan kumpulan pensyarah, Profesor Madya Dr. Rosmila Abdul Kahar, Profesor Madya Dr. Noor Azura Awang, Dr. Amira Saryati Ameruddin dan pelajar pascasiswazah Nur Liyana Mohd Nasir.

Turut serta membantu sebagai fasilitator program, tiga orang pelajar tahun dua program Sarjana Muda Sains (Fizik Gunaan) dengan Kepujian FAST, Nur Syazwani Ilyana, Nuralya Athirah Emran dan Jevya A/P  M Manickavasagar.

Menurut Dr. Afishah, kit tersebut telah disediakan terlebih dahulu oleh pelajar dan pensyarah UTHM yang terlibat.

”Pihak kami turut menyediakan modul berbentuk video bagi memudahkan guru-guru menguna pakai semula kit tersebut untuk pembelajaran dalam kelas pada masa akan datang.  

”Setiap kit telah diedarkan kepada pelajar sekolah supaya mereka merasai sendiri pengalaman praktikal atau hands-on cara-cara memasang peralatan robot dan secara tidak langsung menggalakkan penguasaan matapelajaran Reka bentuk, Bahasa Inggeris dan Matematik,” jelas beliau.

Tambah Dr. Afishah, penganjuran program itu mendapat maklum balas yang positif daripada guru-guru sekolah terbabit.

“Bagi mereka, program sebegini dapat membantu anak-anak orang asli agar tidak keciciran dalam menguasai ilmu pengetahuan terutama dalam bidang berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Pihak kami turut merancang untuk meneruskan program ini dengan Sekolah Kebangsaan Pos Gedong yang terletak di daerah yang sama pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Gading Kencana, Datuk Ir Guntor Tobeng Mansor yang juga pernah menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Sains) daripada UTHM berkata beliau sangat berharap program ini dapat dilaksanakan secara berkala bagi melestarikan pembangunan anak-anak orang asli secara mampan dan berkesan.

Pihak FAST turut merakamkan rasa terima kasih kepada pihak Gading Kencana  atas sokongan dan sumbangan dalam bentuk kewangan bagi menjayakan program ini.

“Diharap kerjasama ini dapat diteruskan bagi memperkukuhkan lagi hubungan UTHM-industri dalam memperkasakan pemindahan ilmu pengetahuan berkaitan sains dan teknologi kepada masyarakat,” kata Dr. Afishah.

 

Berita ini juga telah diterbitkan dalam :

1. suaramerdeka.com, 18 Julai 2022 : https://suaramerdeka.com.my/uthm-dan-gading-kencana-santuni-anak-orang-asli-bidor/