Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT – Naib Canselor, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim menyeru warga kerja Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) agar bersedia untuk berubah dalam usaha memperkukuh Ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan Digital seperti yang digariskan dalam Rangka Masa Pelan Strategik 2021-2025.

Bagi menyuntik semangat tahun baharu, Dato’ Ruzairi telah menyampaikan beberapa pesanan kepada seluruh warga universiti ketika berlangsungnya Majlis Amanat Tahun 2024 melalui platform online dan fizikal pada 6 Februari lalu bertempat di Pusat Konvensyen, Kemudahan Guna Sama Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, UTHM kampus cawangan Pagoh.

Menurut beliau, UTHM telah menetapkan bahawa tahun 2024 ini sebagai fasa pecutan dalam memperkukuhkan Ekosistem TVET dan Digital selari dengan perubahan teknologi baharu yang semakin pesat.

Justeru, beliau menyeru warga kerja agar sedia untuk berubah dalam menghadapi perubahan ekosistem pekerjaan yang semakin dinamik dan kompleks.

“Pada tahun 2024 ini saya mengharapkan warga kampus lebih terbuka menerima idea baharu, lebih fleksibel dengan kepelbagaian pendekatan kerja, tidak takutkan perubahan, mempunyai inisiatif untuk terus belajar perkara baharu, berani mengambil risiko yang terkawal, sentiasa bersikap positif dan mempunyai kesedaran diri yang tinggi,” katanya.

Selain itu, Dato’ Ruzairi turut menitipkan tujuh hikmah untuk dihayati warga kampus dalam menerajui universiti iaitu KEBERSAMAAN seluruh warga universiti, pengamalan BUDAYA POSITIF seperti Sayangi UTHM – Kami UTHM, KESEDIAAN UNTUK BERUBAH dan BOLEH DITEGUR, keperluan pelaksanaan EKOSISTEM KAMPUS MENYELURUH khususnya kepada para pelajar, peranan setiap warga kerja sebagai PEMUDAHCARA, selain terus fokus kepada NILAI dan INTEGRITI ke arah lebih baik, serta amalan berterusan untuk belajar dan memperbaiki diri melalui PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT.

Dalam amanatnya, Dato’ Ruzairi turut berkongsikan lima fokus utama Kementerian Pengajian Tinggi yang perlu diberi perhatian seluruh warga iaitu Penyediaan Bakat Terbaik Negara, Pengukuhan Ekosistem Penyelidikan dan Inovasi, Pelaksanaan Pendekatan Baharu Program Pemindahan dan Perkongsian Ilmu, Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi dan Pemantapan Ekosistem Pemboleh Daya.

Program anjuran bersama Pejabat Strategik dan Pengurusan Risiko serta Pejabat Pentadbiran UTHM Kampus Cawangan Pagoh itu turut melibatkan kehadiran Ahli Lembaga Pengarah UTHM, Prof. Dr Yusri Yusof, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad serta Pegawai-pegawai Kanan universiti.

Turut berlangsung, penyerahan Buku SKTU 2024 UTHM oleh Naib Canselor kepada Ketua Fokus, penyerahan buku Pelan Pengurusan Halal UTHM (PPHU) 2027 kepada Naib Canselor, sesi penyampaian sijil penghargaan kepada penulis rencana akhbar tertinggi UTHM dan penyampaian ‘Mock Check’ hasil sumbangan pihak Koperasi UTHM Berhad kepada wakil pelajar UTHM.

 

 

Ayuh kita bersaudara – kita Keluarga UTHM. Bersama-sama kita  mengenggam awan – sampailah ke angkasa – kita takhluk dunia dengan solusi menerusi tranformasi teknologi bersama industri, juga komuniti. Namun jangan lupa tetaplah mengakar dan membumi.” (Ruzairi, 2024)

Kembali dan hayatilah nilai bersama UTHM iaitu Amanah, Profesional, Inovatif.

 

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 23 Februari 2024: UTHM kena berubah dalam usaha perkukuh TVET

https://malaysiagazette.com/2024/02/23/uthm-kena-berubah-dalam-usaha-perkukuh-tvet/