BATU PAHAT, 14 Jun 2026 – Pertandingan Busking Challenge MAKUM 2026 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung selama tiga hari melabuhkan tirainya selepas menyaksikan persaingan sengit dalam kalangan mahasiswa universiti awam (UA) dari seluruh negara yang diadakan sejak 12 Jun lalu di Dataran Astaka Shahbandar, Batu Pahat, Johor.

Acara berprestij itu dianjurkan oleh Pusat Sukan dan Kebudayaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Tourism Batu Pahat, Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) serta Kelab Warisan UTHM.

Sebanyak 17 kumpulan busking yang mewakili 14 UA telah mengambil bahagian bagi mempamerkan bakat muzik serta kreativiti luar biasa masing-masing.

Majlis perasmian penutup program telah disempurnakan bersama oleh Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kualiti) UTHM, Profesor Dr. Nik Hisyamudin Muhd Nor.

Hadir sama, Pengerusi Tourism Batu Pahat, Qairy Maheran; Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan Universiti, Sr. Dr. Anuar Mohd Salleh; Timbalan Pengerusi TOURISM BP,Effendy Abd Kadir; Ketua Bahagian Kebudayaan, Pusat Sukan dan Kebudayaan Universiti, Rosdi Abdullah serta Pegawai-pegawai MAKUM.

Keputusan pertandingan menyaksikan Kumpulan Engmucs dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) muncul sebagai Juara, manakala Naib Juara disandang oleh Kumpulan De Mahameru dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan tempat ketiga diraih tuan rumah iaitu Kumpulan The Onn’z (UTHM).

Sementara itu, tempat keempat dan kelima masing-masing dimenangi oleh Kumpulan Kugiran Akustik UIAM dan Kumpulan Akustika Band IIUM.

Selain hadiah utama, beberapa kategori khas turut dipertandingkan iaitu Anugerah Khas Juri: Kumpulan Solace (UUM), Persembahan Terbaik: Kumpulan Akustika Band IIUM (UIAM), Vokal Terbaik: Kumpulan Solace (UUM), Anugerah Penaja (Gubahan Lagu Terbaik): Kumpulan The Been (UTHM) menerusi lagu Magis Negaraku, Gitar Terbaik: Kumpulan The Been (UTHM), Calon Terbaik: Kumpulan Engmucs (UniMAP), Bass Terbaik: Kumpulan Engmucs (UniMAP) dan Instrumen Terbaik (Akordian): Kumpulan Tralala Band B (UM).

Prof. Nik Hisyamudin dalam ucapannya berkata pihak universiti menzahirkan ucapan tahniah kepada PSKU atas penganjuran pertandingan itu, selain kejayaan merangkul tempat ketiga serta anugerah ‘Gitar Terbaik’ dan ‘Gubahan Lagu Terbaik.’

”Penganjuran kolaboratif ini bukan sahaja berjaya menjadi platform utama dalam mencungkil bakat seni muzik jalanan dalam kalangan mahasiswa, malah turut membantu merancakkan lagi sektor pelancongan serta kebudayaan tempatan di daerah Batu Pahat,” katanya.

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 15 Jun 2026: UTHM anjur Pertandingan Busking Challenge MAKUM 2026

UTHM anjur Pertandingan Busking Challenge MAKUM 2026