Oleh Abdin Shakirin Al-Yafei Abdul Nasir

BATU PAHAT – Sejak pengambilan kohort pertama pada tahun 2016, program MBA@UTHM telah berjaya melahirkan hampir 200 alumni daripada Batch 1 sehingga 18, termasuk 33 pelajar antarabangsa.

Program yang bermula di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu terus berkembang selepas penubuhan Johor Business School (JBS) sebagai fakulti pada tahun 2023.

Bagi memperluaskan akses pendidikan kepada golongan profesional, MBA@UTHM mula ditawarkan secara Open and Distance Learning (ODL) pada Oktober 2025.

Dalam tempoh yang sama, JBS turut memperkenalkan program Doctor of Business Administration (DBA) dan PhD in Business, sekali gus memperkukuh ekosistem pendidikan pascasiswazah serta menyediakan laluan pengajian lanjutan kepada graduan dan profesional dalam bidang perniagaan dan pengurusan.

Rentetan itu, JBS telah menganjurkan Majlis Gala Makan Malam Ulang Tahun Ke-10 Program Master of Business Administration (MBA) di Orchid Event Space, Batu Pahat pada 7 Jun lalu bagi menghimpunkan pengurusan universiti, alumni, rakan industri dan para akademia terlibat.

Dekan JBS, Profesor Madya Dr. Shafie Mohamed Zabri berkata sambutan tersebut bukan sekadar majlis makan malam, malah menjadi platform untuk menghargai perjalanan dan kejayaan yang telah membentuk keluarga besar MBA@UTHM.

”Kejayaan sebenar sesebuah program bukan hanya diukur melalui bilangan graduan yang dilahirkan, tetapi melalui impak yang dibawa oleh para alumninya.

”Kami berbangga melihat alumni MBA@UTHM kini berjaya menempatkan diri dan melakar kecemerlangan dalam sektor awam, swasta, pendidikan, industri dan keusahawanan,” katanya.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Profesor Dr. Afandi Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UTHM selaku wakil rasmi Naib Canselor.

Beliau dalam ucapannya menyifatkan MBA@UTHM sebagai platform pembangunan bakat yang berjaya membentuk pemikiran strategik, kepimpinan dan profesionalisme dalam kalangan graduan.

”MBA@UTHM telah membuktikan bahawa sebuah program yang dibangunkan dengan iltizam, komitmen dan kesungguhan mampu berkembang menjadi platform pembinaan bakat yang bermakna serta melahirkan graduan yang berjaya dalam pelbagai bidang,” katanya.

Bersempena ulang tahun ke-10, sebanyak 10 anugerah khas telah disampaikan kepada alumni cemerlang iaitu Distinguished Alumni Award, Outstanding Entrepreneur Award, Emerging Leader Award, Social Impact & Community Award, Corporate Excellence Award, Innovation & Digital Transformation Award, Academic & Research Excellence Award, Global Achievement Award, MBA Alumni Loyalty & Contribution Award serta Inspirational Alumni Award.

Pada masa yang sama, MBA Legacy Recognition Award pula diberikan kepada Profesor Madya Dr. Ahmad Kaseri Ramin dan Profesor Madya Dr. Maimunah Ali bagi menghargai sumbangan mereka dalam pembangunan awal program.

Turut diadakan, sambutan ringkas persaraan Profesor Dr. Wan Fauziah Wan Yusof bagi menghargai jasa beliau kepada JBS dan program MBA@UTHM, serta pelancaran cenderamata rasmi Mafla Johor Business School hasil tajaan alumni Batch 14, Muhammad Hairul Zainal, pengasas Ziegers Printing.

Hadir sama ke majlis itu, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Profesor Ir. Dr. Mohd. Amri Lajis; wakil rasmi Setiausaha Kerajaan Johor, Yang Mulia Ungku Mohd Tahir Ungku Mohd Zakaria; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Rabiah Ahmad, FASc; serta Dekan-dekan, pengarah pusat tanggungjawab, alumni MBA@UTHM, rakan industri dan para pensyarah JBS.

Penganjuran majlis seumpama itu bukan sahaja meraikan pencapaian lalu, malah berupaya memperkukuh hubungan antara universiti, alumni dan rakan industri, serta mencerminkan komitmen JBS dalam melahirkan graduan profesional, berdaya saing dan berkualiti untuk pembangunan organisasi, masyarakat dan negara.