Oleh Suriayati Baharom
BATU PAHAT, 16 Jun 2026 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hari ini melakar satu lagi detik penting dalam sejarah pembangunan institusi apabila melancarkan Pelan Strategik UTHM 2026-2030, yang menjadi dokumen hala tuju utama universiti dalam merealisasikan aspirasi sebagai Global Technopreneur University (GTU2030).
Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali berkata, Pelan Strategik UTHM 2026-2030 merupakan manifestasi tekad universiti untuk melakukan perubahan secara menyeluruh dalam mendepani cabaran global yang semakin kompleks, khususnya dalam era teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Menurut beliau, agenda besar tersebut menyatukan visi UTHM untuk menjadi universiti teknikal global yang menerajui teknologi demi kemampanan serta misi universiti dalam menyediakan pendidikan berkualiti, penyelidikan berimpak dan inovasi yang menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.
”Kepimpinan sejati bukan sekadar mengikut arus masa depan, tetapi mempunyai keberanian untuk mencorakkannya.
”GTU2030 menuntut kita bertindak sebagai pencipta nilai yang mengubah pengetahuan menjadi jalan penyelesaian,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa universiti perlu beralih daripada peranan tradisional sebagai pusat penyampaian ilmu kepada sebuah institusi yang berupaya menawarkan penyelesaian terhadap cabaran dunia sebenar melalui teknologi, inovasi dan keusahawanan.
Sementara itu, bagi memastikan aspirasi GTU2030 dapat direalisasikan, universiti perlu memberi perhatian kepada tiga fokus utama iaitu Entrepreneurship, Digitalisation dan Decarbonisation yang menjadi teras transformasi universiti.
Beliau berkata, ketiga-tiga fokus tersebut saling melengkapi dalam melahirkan graduan berdaya saing, mempercepatkan pendigitalan ekosistem universiti serta memperkukuh komitmen UTHM terhadap pembangunan lestari.

Universiti turut menetapkan lima sasaran strategik utama yang menjadi panduan pembangunan universiti sepanjang tempoh lima tahun akan datang.
Sasaran tersebut merangkumi usaha menjadikan UTHM sebagai Universiti Teknikal Pilihan Pertama, melahirkan 30 peratus graduan usahawan, mencapai 50 peratus penjanaan pendapatan berbanding perbelanjaan operasi (OPEX), merealisasikan 70 peratus sasaran hijau UTHM, serta menempatkan universiti dalam kelompok 900 terbaik dunia menerusi penarafan global yang diiktiraf.
Prof. Mas Fawzi berkata, lima sasaran itu bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan komitmen universiti dalam membina bakat masa depan, memperkukuh kemampanan kewangan, memperluas agenda kelestarian dan meningkatkan reputasi akademik serta penyelidikan di peringkat antarabangsa.
Beliau turut menyeru seluruh warga universiti termasuk ahli akademik, kakitangan pentadbiran, mahasiswa dan alumni agar menghayati semangat kepimpinan kolektif bagi memastikan kejayaan pelaksanaan GTU2030.
Katanya, kejayaan pelan strategik tersebut memerlukan penglibatan menyeluruh semua pihak kerana transformasi institusi tidak boleh dipikul oleh pengurusan universiti semata-mata, sebaliknya perlu digerakkan secara bersama melalui perkongsian visi dan matlamat yang jelas.
Majlis pelancaran yang berlangsung penuh bermakna itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad.
Turut diadakan, pelancaran dan penyerahan Buku Pelan Strategik UTHM 2026-2030 kepada Ketua Fokus Pelan Strategik dan Pengurusan Risiko (PSPR), Pelancaran UTHM EduTourism, tayangan video khas serta penyampaian sijil pengiktirafan QS Ranking dan Times Higher Education (THE) by Subject kepada pusat tanggungjawab (PTj) yang berjaya mengharumkan nama universiti di peringkat antarabangsa.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Afandi Ahmad; Menjalankan Fungsi Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Profesor Ts. Dr. Abdul Mutalib Leman; Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kualiti), Profesor Dr. Nik Hisyamudin Muhd Nor dan Pengarah Pejabat Perancangan Strategik dan Pengurusan Risiko, Prof. Madya Dr. Mohd Lizam Mohd Diah.
Pelancaran Pelan Strategik UTHM 2026-2030 itu dijangka menjadi pemangkin kepada usaha transformasi universiti ke arah kecemerlangan global, sekali gus memperkukuh kedudukan UTHM sebagai institusi pendidikan tinggi teknikal yang relevan, progresif dan berimpak tinggi kepada masyarakat serta negara.




Berita ini juga diterbitkan di:
1. Utusan Malaysia (muka surat: 24), 19 Jun 2026: UTHM lancar Pelan Strategik 2026-2030

