BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus mencipta kecemerlangan apabila dinobatkan sebagai ‘Institusi Terbaik Keusahawanan’ sempena Anugerah Kecemerlangan Keusahawanan IPT (AKKPT) 2025 yang berlangsung pada 15 Mei 2026 lalu di Hotel Hilton, Kuala Lumpur.
Kejayaan besar itu melayakkan UTHM membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM250 ribu, berserta ganjaran tambahan RM30 ribu sebagai finalis, menjadikan jumlah keseluruhan dana pembangunan keusahawanan yang dimenangi adalah RM280 ribu.
Majlis penyampaian anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi dalam satu majlis yang menghimpunkan institusi pendidikan tinggi seluruh negara bagi meraikan pencapaian cemerlang dalam pembangunan keusahawanan mahasiswa.
Pengiktirafan berprestij itu membuktikan komitmen berterusan UTHM dalam memperkasa agenda keusahawanan pendidikan tinggi negara melalui pelbagai inisiatif pembangunan ekosistem keusahawanan universiti.
Kejayaan tersebut dilihat selari dengan usaha universiti dalam membudayakan keusahawanan dalam kalangan mahasiswa dan staf melalui pelaksanaan program latihan, pertandingan inovasi, pembangunan perniagaan serta sokongan berterusan kepada startup mahasiswa dan staf yang berpotensi tinggi.
Di sebalik pencapaian membanggakan itu, Pusat Teknousahawan Universiti (PTU) memainkan peranan penting sebagai peneraju utama agenda keusahawanan universiti.
PTU bertanggungjawab merancang strategi, menyelaras dan melaksanakan pelbagai inisiatif berkaitan pembangunan keusahawanan termasuk pengurusan data, pelaporan, latihan, pertandingan, pemantauan startup serta pembangunan ekosistem keusahawanan universiti secara menyeluruh dan berimpak tinggi.
Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga universiti atas komitmen dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan agenda keusahawanan universiti, khususnya kepada warga PTU yang menjadi tulang belakang dan perancang strategi utama sehingga UTHM berjaya meraih pengiktirafan tertinggi tersebut.
Menurut beliau, segala pengorbanan masa, tenaga dan idea yang dicurahkan oleh seluruh pasukan akhirnya membuahkan hasil yang amat membanggakan buat universiti serta menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh budaya keusahawanan dalam kalangan mahasiswa.
”Kejayaan ini turut menjadi bukti bahawa budaya kerja berpasukan, kesungguhan dan komitmen seluruh warga universiti mampu menghasilkan pencapaian yang memberi impak besar kepada pembangunan pendidikan tinggi dan keusahawanan negara,” katanya.
UTHM juga berharap pengiktirafan tersebut akan menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh agenda keusahawanan universiti dalam melahirkan lebih ramai graduan usahawan yang kompetitif, inovatif dan berdaya tahan pada masa hadapan.

.

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Malaysian Tribune (malaysiantribune.com), 19 Mei 2026: UTHM Named Best Entrepreneurship Institution At AKKPT 2025

UTHM Named Best Entrepreneurship Institution At AKKPT 2025

 

2. Utusan Borneo Sabah (muka surat: 4), 20 Mei 2026: UTHM dinobat institusi terbaik keusahawanan AKKPT 2025

 

3. Bernama (bernama.com), 20 Mei 2026: UTHM DINOBAT INSTITUSI TERBAIK KEUSAHAWANAN AKKPT 2025

https://www.bernama.com/radio/news.php?id=2558978

 

4. Bernama (bernama.com), 20 Mei 2026: UTHM Named Best Entrepreneurship Institution At AKKPT 2025

https://www.bernama.com/en/region/news.php?id=2558969