BATU PAHAT – Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus membuktikan kecemerlangannya apabila menerima pengiktirafan rasmi sebagai ‘AWS Academy Member Institution.’
Pencapaian itu merupakan satu lonjakan paradigma dalam usaha fakulti meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan ke dalam pasaran teknologi global.
Kejayaan meraih status AWS Academy itu bukan sahaja membuktikan keupayaan FSKTM mengekalkan piawaian pendidikan digital bertaraf dunia, malah menterjemahkan komitmen berterusan fakulti dalam melahirkan graduan yang kompeten dan kalis masa hadapan.
Lebih membanggakan, melalui pengiktirafan itu para pelajar akan didedahkan dengan silibus pengkomputeran awan berstandard industri secara langsung daripada rakan teknologi global, Amazon Web Services (AWS).
Kejayaan itu direalisasikan menerusi inisiatif strategik para penyelaras program di bawah Jabatan Keselamatan Maklumat dan Teknologi Web.
Pasukan terlibat telah memastikan penyediaan dokumentasi dan penjajaran kurikulum menepati keperluan dan pematuhan ketat yang ditetapkan oleh pihak AWS.
Bagi meraikan kejayaan itu, satu majlis pelancaran akademi telah dianjurkan oleh Kelab Teknologi Maklumat (ITC) semasa berlangsungnya program Visionary Innovation in Bedrock Exploration (VIBE).
Hadir sama ke majlis itu, wakil AWS, Valerie Leong, serta kumpulan fasilitator pakar dari SG dan MY Code Campus yang mengendalikan sesi ideathon bersama para pelajar.
Sementara itu, Dekan FSKTM, Profesor Ts. Dr. Mohd Farhan Md. Fudzee berkata, sokongan padu daripada seluruh warga fakulti menjadi pemacu utama dalam memastikan FSKTM sentiasa berada di barisan hadapan bagi memperkasakan pendidikan teknologi awan.
Terdahulu, sekumpulan pelajar UTHM telah berjaya merangkul Anugerah AI Program Amazon Web Services Malaysia, sekali gus menjadikan kemenangan itu sebagai pengukuhan reputasi FSKTM sebagai fakulti yang aktif, kreatif dan inovatif dalam membangunkan ekosistem digital yang dinamik serta berimpak tinggi.
“Kerjasama strategik dengan AWS dan kecemerlangan berterusan pelajar ini diharap akan terus menjadi pemangkin buat FSKTM untuk kekal unggul sebagai peneraju utama bidang teknologi digital, bukan sahaja di peringkat nasional, malah melangkah jauh ke persada antarabangsa,” tambah Prof. Mohd Farhan.

.
Berita ini juga diterbitkan di:
1. Wiser (wiser.my), 25 Mei 2026: AWS Iktiraf Fakulti Sains Komputer Dan Teknologi Maklumat, UTHM
https://wiser.my/aws-iktiraf-fakulti-sains-komputer-dan-teknologi-maklumat-uthm
