Oleh Suriayati Baharom
BATU PAHAT, 23 Feb 2026 – Profesor Ts. Dr. Rabiah Ahmad, FASc dilantik semula sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bermula 1 Mac 2026 sehingga 29 Februari 2028.
Pelantikan semula itu merupakan pengiktirafan terhadap kepimpinan dan komitmen berterusan beliau dalam memperkukuh agenda penyelidikan dan inovasi universiti.
Menurut Prof. Rabiah, pelantikan semula itu meletakkan amanah dan tanggungjawab kepadanya bagi merancakkan lagi kecemerlangan rangka kerja strategik RDICE (Research, Development, Innovation, Commercialization and Economy) iaitu salah satu pelan tindakan yang terkandung dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM 2026-2035) yang telah diluncurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.
Sepanjang tempoh perkhidmatan sebelum ini, beliau telah memainkan peranan penting dalam memperkasa budaya penyelidikan, memperluas jaringan kolaborasi strategik serta meningkatkan pencapaian universiti dalam pelbagai penarafan dan pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Prof. Rabiah yang juga penyelidik utama di Industry Centre of Excellent for Railway (ICOE-REL), mempunyai latar belakang akademik yang kukuh dalam bidang teknologi maklumat dan keselamatan siber.
Beliau memulakan perjalanan akademik dengan pengajian diploma dan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari Universiti Teknologi Malaysia sebelum melanjutkan pelajaran ke Royal Holloway, University of London (MSc dalam Keselamatan Maklumat) dan University of Sheffield, United Kingdom (PhD dalam Health Informatics).
Sepanjang lebih dua dekad kerjaya sebagai pendidik, penyelidik dan pemimpin akademik, Prof. Rabiah telah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ilmu pengetahuan dan strategi penyelidikan institusi.
Beliau pernah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Dekan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Pengarah Strategik dan Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan, serta turut terlibat dalam jawatankuasa profesional dan akademik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Sebagai pakar Information, Computer and Communications Technology (ICT) dengan penekanan terhadap sistem keselamatan, beliau juga aktif dalam penyelidikan melalui penyertaan dalam pelbagai projek, penerbitan dan pembangunan modul akademik.
Tambahan lagi, beliau turut mengekalkan hubungan kerjasama industri dan masyarakat melalui peranan profesionalnya, termasuk sebagai ahli jawatankuasa keselamatan siber dan penyelidikan strategik.
Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Mas Fawzi Mohd Ali turut mengucapkan tahniah atas pelantikan itu dan berharap pengalaman luas serta kepakaran Prof. Rabiah akan terus memberi manfaat kepada agenda penyelidikan, inovasi, kolaborasi industri serta pengkomersialan hasil penyelidikan universiti.
“Pelantikan ini juga diharapkan dapat memperkukuh lagi jaringan global universiti dalam bidang penyelidikan dan inovasi,” katanya.
Berita ini juga diterbitkan di:
1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 23 Februari 2026: Dr. Rabiah dilantik semula sebagai Timbalan Naib Canselor UTHM
