BATU PAHAT, 10 Mac 2026 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus mencipta rekodnya tersendiri apabila diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Latihan Pengajaran Digital dan Kecerdasan Buatan (AI) untuk pendidik TVET serantau oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) menerusi inisiatif UNESCO Global Skills Academy (GSA).
Pengiktirafan itu merupakan hasil inisiatif bersama UNEVOC Centre UTHM dan UNESCO Chair on TVET Educators di bawah MyRIVET, yang memfokuskan kepada pemerkasaan kompetensi digital dan integrasi AI dalam kalangan pendidik TVET, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat Asia.
Pemilihan itu dibuat berdasarkan keupayaan UTHM dalam menerajui transformasi TVET dan sumbangan signifikan universiti tersebut dalam projek TVET di peringkat global.
Ia juga merupakan peluasan inisiatif global AI EmpowerED di bawah GSA yang kini berkembang ke Malaysia.
UNESCO dengan kerjasama Microsoft Elevate, KPMG International dan Tablet Academy, memperluas Program Kemahiran Digital dan AI bagi TVET bagi memperkasakan institusi TVET dalam menghadapi ekonomi berasaskan AI.
Untuk rekod, Program Peningkatan Kemahiran Digital dan AI telah dilancarkan di UTHM pada 23 Februari 2026 lalu melibatkan penyertaan 40 pendidik TVET.
Para peserta menyertai bootcamp selama dua hari secara bersemuka dan seterusnya diiktiraf sebagai Master Teacher Trainer (MTT).
Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan program, satu Digital Skills Review and Profiling telah dijalankan bagi mengenal pasti tahap kesiapsiagaan serta jurang kompetensi digital dalam kalangan peserta.
Berdasarkan dapatan tersebut, kandungan latihan dirangka secara strategik merangkumi penggunaan alatan digital dan alatan AI dalam reka bentuk pengajaran, pentaksiran digital, analitik data pendidikan serta amalan pedagogi berasaskan teknologi.
Program seumpama itu berjaya dilaksanakan secara rintis pada tahun 2025 di Kenya, Ghana dan India, dan kini diperluas dengan sasaran melatih serta memperakukan lebih 500,000 pendidik dan pelajar menjelang Disember 2026 melalui rangkaian institusi TVET UNESCO.
Selepas pelaksanaan di Malaysia, program itu dijadualkan diperluas ke Uganda dan Tanzania serta diteruskan di negara pelaksana sedia ada.
Latihan di UTHM turut dikendalikan oleh pakar antarabangsa dari Tablet Academy, iaitu Ross Hunter dan Samantha O’Leary dari United Kingdom, yang berkongsi amalan terbaik dalam transformasi digital pendidikan dan integrasi AI secara praktikal dalam bilik darjah TVET.
Turut hadir, Dr. Hiromichi Katayama dan Yuniasih Purwani dari UNESCO Jakarta, iaitu pejabat UNESCO yang bertanggungjawab terhadap aktiviti UNESCO di Malaysia selain Brunei Darussalam, Indonesia, Filipina dan Timor-Leste.
Ketua Projek, Profesor Madya Ts. Dr. Affero Ismail berkata pengiktirafan itu membuktikan komitmen UTHM dalam memperkasakan pendidik TVET dengan kemahiran digital dan AI bertaraf global.
“Kami komited memastikan latihan yang dilaksanakan bersifat praktikal, relevan dengan industri serta mampu memberi impak berpanjangan kepada sistem pendidikan TVET,” ujar beliau.
Manakala Dr. Hiromichi pula berkata inisiatif pelbagai rakan strategik itu membuktikan kekuatan kolaborasi global TVET dalam memacu kebolehpasaran, daya tahan serta transformasi digital inklusif dalam sistem pendidikan.
Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Mas Fawzi Mohd Ali turut serta meninjau latihan MTT dan berbincang dengan wakil daripada UNESCO dan Tablet Academy berkaitan aktiviti lanjutan susulan kejayaan program itu.
Dengan pengiktirafan ini, UTHM terus mengorak langkah sebagai hab kecemerlangan digital dan AI untuk pendidik TVET serantau, sekali gus memperkukuh peranan Malaysia dalam agenda pembangunan kemahiran masa hadapan.


