KUALA LUMPUR – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus melakar kecemerlangan apabila diiktiraf sebagai peneraju kebolehpasaran graduan menerusi Talentbank Graduate Employability Index, yang dinilai sepenuhnya berdasarkan maklum balas serta validasi majikan industri di Malaysia.
Pengiktirafan tersebut telah diterima oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali dalam satu majlis yang berlangsung pada 11 April 2026 lalu bertempat di Four Seasons Hotel Kuala Lumpur.
Berdasarkan dapatan indeks tersebut, empat bidang pengajian UTHM telah menerima pengiktirafan berprestij “Talentbank 6-Star Employer Choice”, iaitu Aerospace & Aeronautical, Analytics, Automotive dan Event Management.
Menurut Mas Fawzi, pencapaian itu mencerminkan tahap keyakinan tinggi pihak industri terhadap kualiti, kompetensi serta kebolehpasaran graduan universiti ini.
“Pengiktirafan ini turut memperkukuh peranan UTHM dalam memacu agenda kebolehpasaran graduan melalui kolaborasi strategik bersama industri, agensi kerajaan serta komuniti alumni.
“Kami akan terus komited dalam melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan berimpak tinggi selaras dengan keperluan pasaran kerja global serta aspirasi pendidikan tinggi negara,” katanya.
Hadir sama ke majlis tersebut, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq, Pengarah Pusat Kemajuan Kerjaya dan Alumni (PKKA), Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Muhammad Saufi Kamarudin serta Ketua Jabatan Kerjaya Pelajar, Ts. Dr. Norfaniza Mokhtar.

Berita ini juga diterbitkan di:
1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 13 April 2026: Empat bidang diiktiraf ‘Talentbank 6-Star Employer Choice,’ graduan UTHM raih keyakinan industri
