BATU PAHAT, 9 Mac 2026 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus mengukuhkan peranannya sebagai peneraju kelestarian tenaga apabila bakal menjadi universiti pertama di Malaysia yang mengintegrasikan Sistem Storan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 5MW/10MWh secara menyeluruh di kampus.
Projek inovatif itu akan diintegrasikan secara langsung dengan sistem solar fotovoltaik (PV) bumbung sedia ada yang melibatkan 25 bangunan dengan kapasiti 6.9MWp.
Langkah itu membolehkan UTHM berfungsi sebagai ‘living lab’ bagi teknologi tenaga boleh baharu (RE), yang mana BESS bertindak sebagai ‘power bank’ gergasi yang menyimpan lebihan tenaga solar pada waktu siang untuk digunakan semula semasa waktu puncak.
Menurut Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Mas Fawzi Mohd Ali, pelaksanaan projek BESS yang diketuai oleh Dr. Fairouz, Pengurus Tenaga Universiti itu membawa impak besar yang melangkaui aspek teknikal semata-mata.
“Projek ini memberikan impak secara langsung bukan sahaja dalam aspek penjimatan kos tenaga elektrik dan pengurangan pelepasan CO2, malah ia menjadi pemangkin kepada kerjasama strategik antara universiti dan industri.
“Inisiatif ini membuka ruang penyelidikan serta sesi pemindahan ilmu bersama industri dan komuniti,” katanya.
Keperluan terhadap teknologi BESS ini menjadi semakin kritikal susulan pelarasan tarif elektrik TNB yang menyaksikan kenaikan Caj Permintaan Maksimum (Maximum Demand – MD) antara 115% hingga 202% bagi sektor komersial.
Dengan menggunakan kaedah ‘peak shaving,’ BESS membantu UTHM mengurangkan kebergantungan kepada grid semasa waktu puncak, sekali gus mengelakkan caj permintaan yang tinggi dan memastikan kestabilan bekalan kuasa di kampus.
Projek kerjasama dengan TNB Research Sdn. Bhd. dan GSPARX Sdn. Bhd. itu bukan sahaja menyokong aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk mencapai 70% kapasiti RE menjelang 2050, malah ia selari dengan visi UTHM untuk menjadi universiti teknikal global dalam teknologi lestari dan pengangkutan.
Melalui projek itu, UTHM membuktikan bahawa penyelesaian teknikal yang inovatif dapat menangani keperluan industri dan komuniti.
Dengan kejayaan integrasi BESS dan Solar PV itu, UTHM kini berada di barisan hadapan dalam transformasi pengurusan tenaga di Malaysia.



Berita ini juga diterbitkan di:
1. Berita Harian (muka surat: 19), 16 Mac 2026: UTHM bakal jadi universiti pertama integrasikan BESS

2. Berita Harian (www.bharian.com.my), 16 Mac 2026: UTHM bakal jadi universiti pertama integrasikan BESS
https://www.pressreader.com/malaysia/berita-harian-malaysia/20260316/281831470246274
