Krisis tenaga global hari ini bukan lagi sekadar isu antarabangsa yang jauh daripada kehidupan harian kita. Sebaliknya, ia semakin hampir dan mula memberi kesan langsung kepada rakyat Malaysia, khususnya melalui kos sara hidup, bil elektrik dan tekanan terhadap ekonomi negara. Ketegangan geopolitik di Timur Tengah serta gangguan terhadap laluan perdagangan tenaga dunia telah meningkatkan ketidaktentuan harga minyak dan gas, sekali gus mencetuskan kesan rantaian kepada banyak negara, termasuk Malaysia.
Kaitan konflik minyak dengan tenaga elektrik
Ramai yang mungkin tertanya-tanya mengapa konflik minyak di luar negara boleh mempengaruhi bil elektrik di Malaysia sedangkan negara ini menjana elektrik menggunakan pelbagai sumber seperti gas, arang batu dan hidro. Jawapannya terletak pada hakikat bahawa pasaran tenaga dunia saling berkait rapat. Apabila harga minyak mentah meningkat, negara-negara lain akan menyesuaikan campuran bahan api mereka dengan beralih kepada alternatif seperti gas atau arang batu. Keadaan ini menyebabkan permintaan terhadap bahan api lain turut meningkat, lalu menolak harga pasaran global ke paras lebih tinggi. Malaysia pula masih bergantung kepada bahan api import bagi sebahagian besar penjanaan elektrik, justeru terdedah secara langsung kepada turun naik harga antarabangsa. Suruhanjaya Tenaga turut menunjukkan bahawa sebahagian besar sistem tenaga negara masih dipengaruhi faktor bahan api import dan keselamatan bekalan.
Selain harga bahan api, satu lagi faktor yang sering terlepas pandang ialah kadar pertukaran mata wang. Kebanyakan urus niaga import tenaga dibuat dalam dolar Amerika Syarikat. Sekiranya nilai ringgit melemah, kos import bahan api juga meningkat walaupun penggunaan kekal sama. Ini bermaksud tekanan terhadap sektor tenaga bukan sahaja datang daripada harga komoditi global, tetapi juga daripada pergerakan mata wang yang tidak menentu. Dalam keadaan ini, pengurusan tenaga di peringkat isi rumah menjadi semakin penting.
Kesan perkembangan ini telah mula kelihatan dalam konteks tempatan. Bagi April 2026, rebat di bawah mekanisme Automatic Fuel Adjustment (AFA) ditetapkan pada 0.47 sen/kWj, iaitu menurun daripada 2.15 sen/kWj pada Mac 2026. Penurunan rebat ini memberi isyarat jelas bahawa kos bahan api global sedang memberi tekanan kepada sistem tarif elektrik negara. Walaupun pengguna domestik tertentu masih menikmati perlindungan subsidi, perubahan ini menunjukkan bahawa sistem tenaga negara sedang berhadapan cabaran yang semakin nyata.
Malaysia juga tidak bersendirian dalam menghadapi situasi ini. Di Singapura, tarif elektrik bagi tempoh 1 April hingga 30 Jun 2026 meningkat sekitar 2.0%, didorong oleh kos tenaga yang lebih tinggi. Perkembangan ini menunjukkan bahawa tekanan kos tenaga sedang dirasai di seluruh rantau, walaupun bentuk dan tahap kesannya berbeza mengikut struktur tenaga setiap negara.
Namun, isu tenaga tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut bil bulanan semata-mata. Krisis ini juga menyentuh soal keselamatan tenaga negara. Apabila sesebuah negara terlalu bergantung kepada bahan api import, sebarang gangguan bekalan atau lonjakan harga global boleh memberi kesan besar kepada kestabilan ekonomi, fiskal kerajaan dan kos kehidupan rakyat. Dalam jangka panjang, keadaan ini menuntut pendekatan yang lebih bijak, bukan sahaja di peringkat dasar, tetapi juga di peringkat pengguna.
Jadilah pengurus tenaga rumah anda yang bijak
Dalam menghadapi ketidaktentuan ini, rakyat Malaysia perlu mula melihat diri mereka bukan sekadar sebagai pengguna elektrik, tetapi sebagai pengurus tenaga di rumah masing-masing. Langkah pertama yang paling praktikal ialah mengenal pasti peralatan yang menggunakan tenaga paling tinggi seperti penyaman udara, pemanas air, peti sejuk dan mesin pengering. Penyaman udara khususnya lazim menjadi penyumbang besar kepada bil elektrik rumah. Oleh itu, servis berkala perlu dilakukan dan suhu penggunaan pendingin hawa wajar ditetapkan antara 24°C hingga 26°C bagi memastikan operasi yang lebih cekap.
Selain itu, usaha penjimatan tenaga tidak semestinya memerlukan teknologi yang mahal. Langkah mudah seperti memasang sensor pergerakan atau suis pemasa untuk lampu luar rumah boleh mengelakkan pembaziran elektrik. Penggunaan lampu LED juga wajar diperluas kerana lebih cekap dan tahan lama berbanding lampu konvensional. Dalam masa yang sama, amalan mudah seperti menutup suis dan mencabut plug peralatan yang tidak digunakan perlu dijadikan budaya harian kerana penggunaan elektrik dalam mod siap sedia tetap menyumbang kepada pembaziran.
Satu lagi amalan yang sering dipandang ringan ialah pengurusan masa penggunaan elektrik. Mengelakkan penggunaan serentak beberapa peralatan berkuasa tinggi seperti seterika, cerek elektrik, mesin basuh dan penyaman udara boleh membantu mengawal penggunaan tenaga harian dengan lebih berkesan. Mengelakkan penggunaan serentak peralatan berintensiti tinggi dapat mencegah lonjakan arus yang mendadak. Amalan ini membantu mengekalkan kestabilan voltan rumah dan memastikan penggunaan elektrik bulanan kekal dalam blok tarif yang lebih rendah, seterusnya mengelakkan bil melambung tinggi. Di samping itu, rumah juga boleh mengurangkan beban penyejukan dengan pendekatan pasif seperti penggunaan langsir penebat haba, pengudaraan semula jadi yang baik dan pengurangan haba terus melalui tingkap atau bumbung.
Apabila tiba masa untuk membeli atau mengganti peralatan elektrik, pengguna juga perlu lebih peka terhadap kecekapan tenaga. Pemilihan peralatan yang mempunyai label kecekapan tenaga 5 bintang boleh membantu mengurangkan penggunaan elektrik secara konsisten dalam jangka masa panjang. Dalam suasana kos tenaga yang semakin tidak menentu, keputusan pembelian seperti ini bukan lagi soal pilihan semata-mata, tetapi satu bentuk persediaan kewangan yang bijak.
Bagi mereka yang berkemampuan, pemasangan solar bumbung merupakan satu langkah strategik yang semakin relevan. Ia bukan sahaja membantu mengurangkan pergantungan kepada bekalan elektrik grid, malah memberi peluang kepada pengguna untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian jangka panjang negara terhadap cabaran tenaga. Walaupun pengumuman terdahulu menetapkan kuota tambahan Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) Rakyat dan Net Offset Virtual Aggregation (NOVA) hanya sehingga 30 Jun 2025 atau sehingga kuota habis, satu skim solar bumbung yang baru iaitu Solar Accelerated Transition Action Programme (ATAP) telah mula dilaksanakan pada 1 Januari 2026. Ini menunjukkan bahawa peralihan kepada tenaga bersih bukan lagi satu pilihan masa depan, tetapi satu keperluan semasa.
Kesimpulannya, krisis tenaga global ialah peringatan jelas bahawa dunia hari ini amat saling bergantung, dan Malaysia tidak terkecuali daripada tempiasnya. Selagi negara masih terdedah kepada harga bahan api import, turun naik kadar mata wang dan ketidaktentuan geopolitik, rakyat perlu lebih bersedia dan lebih bijak mengurus penggunaan tenaga. Penjimatan elektrik di rumah mungkin nampak kecil pada skala individu, tetapi jika diamalkan secara meluas, ia bukan sahaja membantu mengurangkan beban bil bulanan, malah menyumbang kepada daya tahan tenaga negara secara keseluruhan. Sudah tiba masanya kita berubah daripada sekadar pengguna kepada pengurus tenaga yang cekap, berhemat dan berdaya tahan.

Profesor Madya Ts. Dr. Azian Hariri
Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Prof. Madya Ts. Dr. Norasikin Mat Isa
Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Bernama (bernama.com), 14 April 2026: Krisis Tenaga Global: Urus Tenaga Elektrik Dengan Bijak
https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2544341
