Krisis yang tercetus daripada konflik perang di Iran akibat serangan Amerika Syarikat dan Israel bukan sekadar menggoncang kestabilan geopolitik Asia Barat, malah mendedahkan kerentanan struktur negara-negara pengimport tenaga, termasuk Malaysia. Ketika harga minyak dan kos tenaga global terdedah kepada spekulasi serta gangguan bekalan, isu mobiliti manusia dan penggunaan tenaga domestik menjadi semakin signifikan. Dunia menyaksikan konflik antarabangsa yang kesan tidak langsungnya adalah pada harga bahan api dan kos sara hidup. Dalam konteks ini, Bekerja Dari Rumah (BDR) kembali diteliti sebagai satu instrumen dasar awam yang strategik, yang seharusnya tidak sekadar menjadi pilihan sementara yang diaktifkan hanya ketika keadaan terdesak.

Pelaksanaan BDR sektor awam ada ketikanya dibayangi oleh kekeliruan dasar dan perbezaan tafsiran antara agensi. Ketiadaan garis panduan yang jelas dan seragam menyebabkan amalan ini dilaksanakan secara tidak seimbang, bergantung kepada budaya organisasi dan pendekatan kepimpinan di agensi masing-masing. Pendekatan yang tidak bersepadu akan mengehadkan potensi BDR sebagai alat pengurusan risiko, lebih-lebih lagi apabila berada dalam konflik dan krisis global pada masa kini.  Sekiranya BDR ingin dimanfaatkan secara lebih berkesan sebagai strategi mitigasi kesan krisis tenaga, pendekatan pelaksanaannya perlu beralih daripada sifat adhoc, kepada dasar berasaskan bukti serta sasaran yang jelas. Setiap hari perjalanan ribuan penjawat awam ke tempat kerja menggunakan kenderaan persendirian menyumbang kepada permintaan bahan api domestik, di samping ekoran peningkatan jumlah kenderaan, kesesakan lalu lintas dan kos subsidi.

Pemanfaatan BDR secara lebih sistematik berpotensi membantu meredakan sebahagian tekanan negara yang sedang berhadapan dengan tekanan harga minyak global. Pendekatan BDR secara umumnya masih belum berhenti dengan situasi mengisar isu produktiviti serta kawalan kehadiran, berbanding dengan keutamaan keseimbangan kerja-kehidupan dan keselamatan tenaga negara. Perspektif itu cenderung meletakkan BDR sebagai isu disiplin organisasi, bukannya sebagai satu bentuk adaptasi struktur terhadap realiti global yang semakin tidak stabil. Sedangkan dalam dunia yang terdedah kepada konflik berskala besar, cara manusia bekerja tidak lagi boleh dilihat terpisah daripada dasar ekonomi, tenaga dan kesejahteraan sosial.

Masyarakat juga selama ini mungkin masih bergelut dengan kepercayaan bahawa kehadiran fizikal merupakan ukuran utama komitmen dan produktiviti. Sikap berhati-hati dan kesangsian yang berlebihan terhadap pekerja dan BDR, mencerminkan bahawa ini adalah cabaran utama dalam menyesuaikan budaya kerja sedia ada dengan realiti dunia yang sedang berubah. Apabila konflik antarabangsa akhirnya memang mempengaruhi harga minyak tempatan dan kos sara hidup rakyat, kelambatan menyusun semula cara bekerja bukan lagi sekadar isu pengurusan, tetapi turut berkait rapat dengan daya tahan negara secara keseluruhan.

Perbandingan antarabangsa menunjukkan pendekatan yang lebih strategik boleh diambil. Pengalaman antarabangsa di beberapa negara maju contohnya, amalan bekerja dari rumah telah dikaitkan secara langsung dengan pengurusan krisis tenaga dan mobiliti bandar. Di Eropah, konflik di Asia Barat telah mendorong pihak Kesatuan Eropah menggesa negara anggotanya menggalakkan pekerja bekerja dari rumah sebagai langkah mengurangkan penggunaan minyak dan diesel, khususnya apabila rantaian bekalan tenaga global terganggu. Di Jerman, peluasan kerja jarak jauh dilihat sebagai antara cara praktikal untuk menjimatkan bahan api dan meredakan tekanan kos mobiliti di bandar besar.

Di Jepun, kerja jarak jauh atau telework dibangunkan sebagai agenda dasar jangka panjang, bukan semata-mata reaksi terhadap krisis tertentu. Kerajaan Jepun telah mempromosikan telework sejak sebelum pandemik lagi. Manakala selepas pandemik, model kerja hibrid dikekalkan secara meluas. Amalan ini dikaitkan dengan usaha mengurangkan kepadatan bandar, meningkatkan kecekapan tenaga dan memperkukuh daya tahan ekonomi apabila berdepan ketidaktentuan tenaga global.

Negara-negara Scandinavia seterusnya menampilkan pendekatan yang lebih menyeluruh dan stabil. Kerja fleksibel dan jarak jauh telah lama disepadukan dalam budaya kerja berasaskan kepercayaan, keseimbangan kehidupan dan kelestarian alam sekitar. Pengurangan perjalanan harian melalui kerja hibrid dianggap selari dengan agenda pengurangan emisi karbon melalui pengurangan perjalanan harian dan penggunaan tenaga bandar. Ini menjadikan amalan tersebut sebagai sebahagian daripada persediaan struktur menghadapi krisis yang berulang.

Di Asia Tenggara pula didapati lebih bersifat berperingkat dan tidak seragam. Kebanyakan negara belum menormalisasikan BDR sepenuhnya, namun krisis tenaga kini telah memaksa beberapa negara mengambil langkah sementara seperti menggalakkan pekerja bekerja dari rumah dan mengehadkan perjalanan ke pejabat bagi mengurangkan penggunaan bahan api. Singapura pula memilih pendekatan institusi dengan meminta majikan mempertimbangkan permohonan kerja fleksibel secara adil, menjadikan kerja fleksibel sebagai sebahagian norma tadbir urus pekerjaan.

BDR mungkin tidak sesuai untuk semua fungsi sektor awam. Namun kerumitan dalam membezakan secara jelas antara fungsi yang boleh dilaksanakan secara jarak jauh dengan yang memerlukan kehadiran fizikal menunjukkan keperluan utama dalam perancangan dasar yang lebih sistematik dan matang. Pelaksanaan BDR menuntut pemetaan fungsi kerja yang teliti, pelaburan dalam infrastruktur digital, serta penilaian prestasi berasaskan Petunjuk Prestasi Utama (KPI), hasil kerja dan keberkesanan, bukan kehadiran secara fizikal semata mata. Tanpa perubahan secara praktikal ini, BDR berisiko terus dilihat sebagai gangguan, sedangkan ia seharusnya disantuni sebagai elemen penyelesaian yang boleh menenangkan semua.

Pelaksanaan BDR dalam sektor awam Malaysia setakat ini menunjukkan evolusi positif yang ketara, namun ia masih memerlukan pemantapan agar pelaksanaannya benar-benar konsisten dan berdaya tahan dalam jangka masa panjang. BDR perlu diperluaskan bukan setakat di bandar-bandar besar dan ibu negeri sahaja, malah juga perlu di daerah-daerah lain yang turut melakukan perjalanan jauh pergi balik kerja, yang turut terkesan dengan kenaikan kos sara hidup dan bahan api. Dasar ini lazimnya muncul sebagai respons terhadap krisis tertentu seperti pandemik, kesesakan luar biasa atau keperluan pentadbiran jangka masa pendek, sedangkan seharusnya ia sangat perlu sebagai sebahagian daripada pelan ketahanan tenaga dan ekonomi yang berterusan. BDR perlu menuju ke arah pemantapan mekanisme sistematik mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil atau menstabilkan kos mobiliti negara dalam suasana geopolitik yang tidak menentu.

Dari sudut kesejahteraan emosi penjawat awam, kejelasan dasar turut memainkan peranan besar. Kepastian BDR adalah sebahagian daripada pendekatan kebangsaan yang terancang adalah penting, bagi meyakinkan ia bukan langkah sementara yang boleh ditarik balik secara mendadak. Ia seharusnya menjadi antara keperluan yang membantu mewujudkan kestabilan psikologi dalam rutin kerja seharian. Ekoran berada dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat, kestabilan ini menjadi aset sosial yang semakin bernilai.

Dalam kerangka nilai, krisis yang berlaku memberi ruang untuk kita refleksi bersama. Keizinan Tuhan terhadap ujian tidak menafikan keperluan manusia untuk bertindak ke arah penyelesaian. Hakikat bahawa Tuhan tidak mengubah nasib sesuatu kaum selagi kaum itu tidak mengubahnya sendiri mengingatkan bahawa adaptasi terhadap dunia yang berubah memerlukan kesediaan dasar, institusi dan budaya kerja untuk bergerak seiring. Penyesuaian terhadap realiti global memerlukan kesedaran dan tindakan kolektif bersama, termasuk dalam tatacara masyarakat bekerja semasa negara dilanda apa juga krisis.

Kesimpulannya, pelaksanaan BDR yang bermula pada 15 April 2026 di Malaysia untuk senario terkini menandakan langkah sangat penting ke arah pentadbiran awam yang adaptif. Namun cabaran sebenar terletak pada usaha menormalisasikan amalan ini sebagai kesediaan salah satu sistem menghadapi apa pun krisis kini dan akan datang. Seiring itu, penetapan KPI yang jelas adalah penting bagi memastikan dasar kerja fleksibel dinilai berdasarkan hasil, bukan lagi isu yang hanya terfokus pada kehadiran fizikal semata-mata. Malah ia juga adalah sebagai komponen penting memastikan pekerja mampu mencapai KPI, mencapai kestabilan ekonomi dan kesejahteraan sosial. BDR dalam sektor awam Malaysia tidak boleh terus diurus sebagai polisi sementara yang muncul ketika krisis, dan berakhir apabila tekanan mereda. Dasar awam yang berpandangan jauh berasaskan bukti dan berteraskan kemanusiaan bukan lagi pilihan tambahan, tetapi keperluan segera dalam menghadapi ketidaktentuan global yang semakin kompleks. Dengan itu, menyesuaikan keperluan BDR dalam jangka masa panjang dan terancang adalah satu langkah pentadbiran yang fleksibel, bertoleransi dan selari dengan cabaran masa hadapan yang kita sendiri tidak pasti apakah kejutan lain yang mendatang.

 

 

 

Profesor Madya Dr. Siti Sarawati Johar

Jabatan Sains Sosial

Pusat Pengajian Umum & Kokurikulum,

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)