Krisis global mula memuncak apabila Amerika Syarikat (AS) dengan sekutunya Israel yang menganggap merekalah yang kaya dan berkuasa menyerang negara republik Iran pada 28 Februari 2026 di bawah operasi yang dinamakan “Operation Epic Fury.” Mungkin mereka anggap merekalah yang tercanggih dan tidak mampu ditewaskan setelah Amerika berjaya menangkap presiden Venezuela Nicolas Maduro pada awal Januari 2026 dan Israel menganggap kejayaan menawan bandar kecil Gaza satu kemenangan mutlak.
Namun, di sebalik kejayaan yang mereka rasakan dimiliki itu, tanpa mereka duga, republik Iran membalas semula serangan keganasan yang dilakukan oleh dua negara terbabit dengan operasi yang dinamakan “Operation True Promise 4.” Tanpa rasa bersalah dan belas kasihan, pembunuhan yang dilakukan oleh negara bersekutu telah meragut lebih 1300 nyawa rakyat biasa tak berdosa di republik Iran termasuk satu misil yang telah dijatuhkan di Sekolah Perempuan Shajareh Tayyebeh yang meragut 170 orang kanak-kanak yang sedang menghadiri sesi pembelajaran. Dengan kelebihan yang ada pada Iran iaitu mengawal kawasan perairan Selat Hormuz, yang mana laluan kapal tangki minyak dari negara-negara teluk seperti Arab Saudi, Qatar, Kuwait, Oman dan Bahrain yang menjadi pengeksport utama minyak dunia, mereka telah menutup laluan kapal tangki dan kapal perdagangan terutama yang mempunyai kaitan dengan negara sekutu barat dan Israel.
Kesannya kini dirasai oleh masyarakat seluruh dunia kerana bekalan minyak telah berkurangan dan harga minyak melonjak ke paras yang tinggi, menghampiri USD 120 setong. Apakah kesannya kepada warga amerika sendiri dan rakyat Israel selepas mereka cuba menjadi ‘Polis Dunia’? Kenaikan harga minyak mentah hanya menguntungkan sesetengah pihak, terutama pihak industri pengekstrakan dan firma tenaga AS, yang mendapat pendapatan lebih tinggi. Namun, rakyat AS perlu menanggung peningkatan mendadak dalam kos operasi bagi penerbangan dan trak. Peningkatan kos bahan api untuk pengangkutan lori dan penghantaran dipindahkan kepada pengguna, sekali gus meningkatkan harga barangan runcit, bekalan perubatan dan barangan pengguna.
Bagi rakyat Israel pula, mereka kini mula hilang nikmat ‘keamanan’ dan hidup dalam ketakutan kerana saban hari siren amaran misil dibunyikan kerana serangan balas bertubi-tubi misil Iran. Meskipun Israel mempunyai sistem keselamatan tercanggih “Iron Dome,” namun langit tidak selalunya cerah, misil balistik Iran masih mampu menebusinya dan menyebabkan kerosakan pada bangunan dan jalan di Beit Shemesh, Tel Aviv, Bat Yam, Yehud, Haifa, Beersheba dan banyak lagi. Ribuan rakyat di negara haram Israel kehilangan tempat tinggal akibat serangan peluru berpandu yang menyasarkan pusat penduduk utama. Kira-kira 2,719 rakyat Israel telah dipindahkan secara rasmi ke hotel-hotel selepas kediaman mereka rosak atau hancur terkena serangan terus atau serpihan letupan. Amerika Syarikat dan negara lain termasuk Australia telah memulakan penerbangan kecemasan dan pelayaran kapal untuk membawa keluar rakyat mereka yang ingin meninggalkan Israel.
Sehingga 13 Mac 2026, perang dengan Iran telah memberikan kejutan besar dan kesan langsung kepada sektor eksport Israel, dengan anggaran kerugian ekonomi mingguan mencecah berbilion-bilion shekel. Kesan ini dicirikan oleh kekurangan tenaga kerja, kos penghantaran yang tinggi, serta penurunan mendadak dalam sektor utama seperti teknologi tinggi dan pembuatan. Penggunaan gas asli di Israel memberi impak yang mendalam terhadap ekonominya susulan peperangan dengan Iran pada awal 2026.
Walaupun pelantar minyak gas asli luar pantai Israel biasanya memberikan sumber kepada kemampanan tenaga, konflik ini telah menukarkan kekuatan tersebut menjadi kelemahan ekonomi yang ketara. Pelabuhan Eilat mengisytiharkan muflis kerana ketiadaan aktiviti ekonomi selama berbulan-bulan. Syarikat logistik seperti ZIM telah pun menaikkan kadar tambang, menjadikan barangan import lebih mahal. Beberapa negara telah membuat sekatan ekonomi ke atas Israel, antaranya Turki telah menghentikan semua eksport dan import ke dan dari Israel. Colombia pula mengharamkan semua eksport arang batu ke Israel. Manakala Perancis telah mengharamkan firma pertahanan Israel daripada mempamerkan produk di pameran senjata antarabangsa utama.
Kos pengangkutan awam dan peribadi meningkat disebabkan kekurangan alternatif rel yang mencukupi selain kereta. Rumah yang mereka duduki di atas tanah Palestin yang mereka rampas kini terpaksa ditinggalkan dan mereka kini bermalam di lot parking, stesen tren bawah tanah dan berlindung di tepian tangga. Sektor eksport pertanian kini menghadapi kemerosotan mendadak, dengan sebilangan petani terpaksa membiarkan tanaman seperti mangga membusuk kerana kos menuai melebihi potensi jualan.
Di Amerika Syarikat, gangguan ini telah melonjakkan harga barangan runcit ke tahap rekod baharu, memberi kesan teruk kepada 47.9 juta rakyat Amerika (1 daripada 7 isi rumah) yang sememangnya sudah bergelut dengan kelaparan selepas pemotongan besar bantuan persekutuan (SNAP) pada 2025. Di Israel, laporan awal 2026 menunjukkan 27.1% isi rumah (kira-kira 2.8 juta orang, termasuk sejuta kanak-kanak) hidup dalam ketidaktentuan makanan; namun, inflasi waktu perang dan kenaikan kos logistik yang baru dijangka memburukkan lagi keadaan ini, terutamanya dalam komuniti Arab dan Haredi.
Secara ringkasannya, pemberhentian eksport tenaga melalui Teluk Parsi telah memaksa peralihan logistik global ke Cape of Good Hope,Afrika Selatan, menambah lima belas hari kepada masa transit Asia-Eropah. Kedua, pasaran kewangan global menghadapi ketidakstabilan yang melampau apabila indeks Korea Selatan dan Jepun merekodkan kerugian tahap ranap yang telah mencetuskan pemberhentian dagangan kecemasan (menurut laporan The Edge Malaysia bertarikh 4 Mac 2026). Ketiga,penggantungan operasi di hab penerbangan utama Negara-negara Teluk dan kematian pemimpin tertinggi Iran menandakan tempoh berpanjangan ketidaktentuan serantau dan pemecahan rantaian bekalan.
Sementara itu, pintu sempadan Rafah masih sebahagian besarnya ditutup kepada orang awam. Walaupun terdapat beberapa konvoi bantuan kemanusiaan yang dibenarkan masuk secara terhad, pergerakan keluar masuk untuk penduduk Palestin, termasuk pemindahan perubatan kecemasan, masih digantung. Konflik serantau telah menolak penduduk di Gaza ke tahap katastrofi, dengan lebih 2.1 juta orang menghadapi kekurangan makanan akut dan risiko kebuluran yang meruncing akibat penutupan sempadan sepenuhnya. Kira-kira 18,000 orang, termasuk kanak-kanak yang cedera dan pesakit kronik, kini menunggu proses pemindahan yang tidak dapat diteruskan selagi sempadan ditutup. Rakyat disana yang dimusnahkan rumahnya, tinggal di bumi bertuah yang dikelilingi negara jiran yang kaya dengan hasil minyak, namun hidup ibarat ‘ayam bertelur di atas padi, mati kelaparan.

Dr. Muhammad Sufi Roslan
Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Diploma
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Ahmad Faiz Mat Zian @ Mat Zin
Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Diploma
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 17 April 2026: Wilayah kaya, namun terjerat konflik berpanjangan
https://malaysiagazette.com/2026/04/17/wilayah-kaya-namun-terjerat-konflik-berpanjangan/
