oleh Prof. Madya Sr. Dr. Nazirah Mohamad Abdullah
Kejayaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dinobatkan sebagai ”Universiti Terbaik Keusahawanan” sempena Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi (AKKPT) 2025 merupakan satu pencapaian yang cukup membanggakan buat seluruh warga universiti dan Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
Lebih bermakna, UTHM muncul sebagai universiti MTUN pertama yang berjaya meraih pengiktirafan berprestij tersebut, sekali gus membuktikan bahawa universiti teknikal juga mampu menjadi peneraju dalam pembangunan ekosistem keusahawanan negara.
Menurut Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali, kejayaan itu bukan hadir secara kebetulan, sebaliknya lahir daripada kesungguhan dan komitmen seluruh warga universiti yang bergerak seiring bermula daripada pengurusan tertinggi sehingga ke peringkat akar umbi.
Tambah beliau, kepimpinan universiti sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap agenda pembangunan keusahawanan mahasiswa dengan meletakkannya sebagai antara fokus utama universiti.
”Budaya kerja secara bersama antara fakulti, pusat tanggungjawab, staf dan mahasiswa menjadi kekuatan utama yang membentuk ekosistem keusahawanan UTHM sehingga berjaya mencapai tahap yang membanggakan hari ini,” katanya.
Selain itu, hala tuju yang jelas menerusi aspirasi Global Technopreneur University (GTU) 2030 turut menjadi pemacu utama kejayaan itu.
Visi tersebut memberi penekanan kepada usaha melahirkan graduan technopreneur yang bukan sahaja mempunyai kompetensi teknikal, malah berani mencipta peluang pekerjaan sendiri serta mampu bersaing dalam ekonomi masa hadapan.
Pendekatan itu secara tidak langsung menjadikan keusahawanan sebagai budaya dan identiti universiti, bukan sekadar program sampingan semata-mata.
Dalam memperkukuh agenda tersebut, Pusat Teknousahawan Universiti, UTHM memainkan peranan yang sangat signifikan sebagai peneraju ekosistem keusahawanan universiti.
Pelbagai program pembangunan usahawan mahasiswa berjaya dilaksanakan secara terancang dan berimpak tinggi melibatkan latihan keusahawanan, pembangunan startup, jaringan industri, bimbingan mentor serta peluang penjanaan pendapatan mahasiswa.
Kesungguhan pusat tersebut dalam menyusun ekosistem yang menyeluruh berjaya melahirkan lebih ramai mahasiswa dan alumni yang aktif dalam bidang perniagaan serta inovasi.
Pengiktirafan di AKKPT 2025 itu bukan sahaja menjadi simbol kejayaan UTHM, malah membuktikan bahawa universiti teknikal mampu melahirkan graduan holistik yang bukan hanya mencari pekerjaan, tetapi juga berupaya menjadi pencipta pekerjaan.
”Kejayaan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada usaha berterusan universiti dalam memperkasakan agenda technopreneur dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara pada masa hadapan,” tambah Prof. Fawzi.


