Cyberjaya, 13 Mei 2026 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus melakar kejayaan di peringkat nasional apabila Prof. Madya Dr. Nadirul Hasraf Mat Nayan dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) dan Dr. Muhammad Ammar Shafi dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) mewakili Pejabat Perancangan Strategik dan Pengurusan Risiko (PSPR) merangkul anugerah “Most Fascinating Scenario” dalam program Scenario Planning Training anjuran MIGHT di Cyberjaya.

Melalui latihan intensif dua hari tersebut, mereka telah membina naratif masa hadapan yang mencabar bertajuk “The Future of STEM Professionals In Malaysia by 2035”.

Naratif itu direka khusus untuk merangka strategi proaktif mendepani evolusi kerjaya sains dan teknologi bagi tempoh sedekad akan datang.

Kemenangan itu diraih menerusi gabungan idea kreatif dan praktikal bersama dua rakan industri besar, iaitu Uzma Berhad dan Cyberview Sdn. Bhd.

Kejayaan menewaskan persaingan sengit daripada pelbagai universiti awam/swasta, badan kerajaan dan pemain industri lain membuktikan kepakaran warga UTHM dalam aspek perancangan strategik kini diiktiraf di peringkat kebangsaan.

Fokus terhadap pemerkasaan profesional STEM itu adalah selari dengan identiti UTHM sebagai sebahagian daripada Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dalam melahirkan bakat berkemahiran tinggi yang relevan dengan keperluan industri masa depan.