Secara globalnya, dunia pada hari ini dihidangkan dengan satu ledakan teknologi yang banyak mempengaruhi cara kerja dan pengurusan manusia. Teknologi Kecerdasan Buatan atau lebih dikenali sebagai  Artificial intelligence (AI) telah mempercepatkan pembangunan pusat data sebagai tulang belakang ekonomi digital global. Di Malaysia, khususnya di Johor, pertumbuhan pesat infrastruktur ini mencerminkan kedudukan strategik negara dalam rantaian ekonomi digital serantau. Namun demikian, pembangunan pusat data telah menjadi isu terhadap alam sekitar. Pemikir dalam kalangan ahli akademik mempersoalkan dan mengkritik dengan melihat sejauh manakah pembangunan ini memberi kesan terhadap alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.

Dari perspektif tenaga, pusat data dikenal pasti sebagai infrastruktur berintensiti tenaga tinggi. Menurut laporan oleh International Energy Agency, pusat data menyumbang sekitar 1% hingga 1.5% penggunaan elektrik global dan permintaan ini dijangka meningkat selari dengan perkembangan AI yang memerlukan keupayaan pemprosesan berskala besar. Tambahan pula, kajian menunjukkan bahawa sistem penyejukan boleh menyumbang sehingga 40% daripada keseluruhan penggunaan tenaga pusat data, sekali gus meningkatkan jejak karbon industri ini.

Selain daripada  tenaga, penggunaan air turut menjadi isu kritikal. Kajian oleh Nature Research melalui jurnal Clean Water mendapati bahawa pusat data menggunakan air dalam jumlah besar untuk tujuan penyejukan serta secara tidak langsung melalui penjanaan tenaga elektrik. Sebagai ilustrasi, sebuah pusat data bersaiz sederhana boleh menggunakan air setara dengan keperluan beberapa fasiliti awam utama seperti hospital. Dalam konteks tempatan, keadaan ini berpotensi menimbulkan tekanan terhadap sumber air, khususnya di kawasan-kawasan yang berdepan dengan isu keterjaminan bekalan.

Manakala dari segi kesejahteraan masyarakat pula, persoalan berkaitan implikasi pembangunan pusat data bersifat multidimensi. Pertama, peningkatan pelepasan karbon menyumbang kepada perubahan iklim yang memberi kesan langsung kepada kesihatan awam, termasuk peningkatan risiko penyakit berkaitan haba. Kedua, isu keadilan alam sekitar (environmental justice) terhadap masyarakat. Isu ini timbul apabila komuniti setempat terpaksa menanggung beban ekologi tanpa menikmati manfaat ekonomi secara seimbang .

Ketiga, dalam dimensi psikologi, pembangunan pesat teknologi yang tidak seiring dengan kelestarian turut menyumbang kepada fenomena eco-anxiety. Fenomena eco-anxienty merupakan persoalan baharu dalam kalangan penyelidik, walaupun sebenarnya isu ini telah lama dan sangat berkait dengan aspek psikologi manusia. Menurut American Psychological Association, eco-anxiety merujuk kepada kebimbangan kronik dalam kalangan individu dan masyarakat terhadap kemusnahan alam sekitar, yang semakin ketara dalam kalangan masyarakat moden. Kebimbangan tentang krisis perubahan cuaca, bekalan air, isu pengurusan sampah yang tidak pernah selesai, bencana banjir dan sebagainya. Kebimbangan ini adalah berasas dengan merujuk kepada fenomena perubahan cuaca kini yang semakin meningkat. Walau bagaimanapun, perasaan bimbang itu adalah sesuatu yang normal. Namun, ia akan kritikal atau bersifat eco-anxiety apabila ia mempengaruhi emosi individu atau masyarakat secara tidak sihat. Bagaimanapun, fenomena ini menunjukkan bahawa impak pembangunan teknologi tidak hanya bersifat fizikal, tetapi juga psikososial.

Sehubungan itu, pendekatan pembangunan yang lebih lestari perlu diberi penekanan. Penggunaan tenaga boleh diperbaharui, inovasi dalam teknologi penyejukan seperti liquid cooling, serta reka bentuk pusat data hijau (green data centres) merupakan antara strategi utama dalam mengurangkan kesan alam sekitar. Pada masa yang sama, pelaksanaan kerangka Environmental, Social and Governance (ESG) serta Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) secara telus perlu diperkukuhkan bagi memastikan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kelestarian.

Kesimpulannya, pembangunan pusat data AI merupakan satu keperluan dalam era digital, namun ia tidak boleh dipisahkan daripada tanggungjawab terhadap alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat. Pendekatan berasaskan bukti (evidence-based approach) serta tadbir urus yang beretika amat penting bagi memastikan kemajuan teknologi tidak membawa kepada kemerosotan ekologi. Masa depan AI harus dibina bukan sahaja atas asas kecerdasan buatan, tetapi juga kebijaksanaan manusia dalam memelihara keseimbangan bumi.

 

 

Prof. Madya Dr. Haryati Shafii

Jabatan Pengurusan Pembinaan

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Bernama (bernama.com), 14 Mei 2026: Kesan Pusat Data AI Terhadap Alam Sekitar Dan Kesejahteraan Masyarakat 

https://bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2553452