KUALA LUMPUR – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya meraih empat pingat emas dan dua pingat perak menerusi penyertaan enam produk penyelidikan dan inovasi ketika menyertai 37th International Invention, Innovation and Technology Exhibition (ITEX 2026) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 18 hingga 20 Mei 2026.

Produk UTHM yang berjaya meraih pingat emas ialah Innovative HVAC with Virtual Reality Experience (InnoHVAC VR) oleh Profesor Madya Ts. Dr. Affero Ismail, Innovative Digital Modules for Enhancing Conceptual Understanding in Additional Mathematics Through GeoGebra and Augmented Reality oleh Profesor Madya Dr. Hamizah Mohd Safuan, Smart Water Level Monitoring: An Internet of Things-Based Solution with SCADA for Real-Time Water Tank Management oleh Dr. Ramhuzaini Abdul Rahman serta ResQHarness Evo oleh Profesor Madya Ts. Dr. Muhammad Fikri Hasmori.

Manakala dua produk yang meraih pingat perak ialah Kulit Lestari: A Technopreneurial Value Chain oleh Profesor Madya Dr. Mohd Nazrul Roslan dan DeepInvisi: A Fileless Malware Detection Tool Using Transformer and LSTM Model oleh Profesor Madya Ts. Dr. Isredza Rahmi Hamid.

Selain meraih pingat emas, produk ResQHarness Evo turut menerima pengiktirafan khas apabila dianugerahkan JIPA Awards for Best Invention in Design.

Anugerah khas tersebut membuktikan kecemerlangan inovasi UTHM dalam aspek reka bentuk produk yang kreatif, praktikal dan berimpak tinggi.

Kesemua kejayaan yang diraih itu turut didorong oleh komitmen berterusan Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) UTHM selaku penyelaras utama penyertaan universiti ke ITEX 2026.

Pengarah ICC, Profesor Eur Ing. Ir. Ts. Dr. Shahiron Shahidan mewakili UTHM turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua penyelidik yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam menghasilkan inovasi berkualiti serta berjaya mengharumkan nama universiti.

Tambah beliau, pencapaian 100 peratus pingat bagi semua penyertaan itu membuktikan kecemerlangan budaya penyelidikan dan inovasi UTHM yang terus berkembang melalui penghasilan produk berimpak tinggi serta berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih luas termasuk aspek pengkomersialan.

“Kejayaan tersebut turut memperlihatkan kemampuan penyelidik UTHM bersaing bersama institusi pendidikan tinggi dan penyelidik dari pelbagai negara melalui penyelesaian inovatif yang memenuhi keperluan semasa industri dan masyarakat.

“Penyertaan UTHM di ITEX 2026 merupakan antara usaha berterusan universiti dalam memperkasakan budaya inovasi serta memperluaskan jaringan kolaborasi strategik agar hasil penyelidikan yang dibangunkan bukan sahaja cemerlang di peringkat pertandingan, malah mampu diterjemahkan kepada produk dan teknologi yang memberi manfaat kepada industri dan masyarakat,” katanya.

Untuk rekod, ITEX 2026 menghimpunkan pelbagai hasil penyelidikan, inovasi dan teknologi daripada institusi pendidikan, pusat penyelidikan serta sektor industri dari pelbagai negara.

Pameran antarabangsa selama tiga hari itu telah disempurnakan oleh Norsham Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).