Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT, 4 Mac 2026 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menggariskan lapan inisiatif utama bagi tahun 2026 menerusi Majlis Amanat Naib Canselor yang disampaikan oleh Profesor Dr. Mas Fawzi Mohd Ali dengan membawa tema “Menginsankan TVET, Memacu Bakat” sebagai tunjang kecemerlangan universiti.

Amanat tersebut menggariskan lapan inisiatif strategik yang akan memacu UTHM ke arah aspirasi Global Technopreneur University (GTU) 2030 iaitu TVET-GTU yang memerlukan usaha mengoptimasi program, penstrukturan semula fakulti dan pengukuhan kerjasama industri, Sihat Rohani & Jasmani (SRJ) – melibatkan inisiatif pemerkasaan kesejahteraan warga kampus secara holistik, Upin-Siput iaitu inisiatif kepada EduTourism UTHM dan Khadam Baru iaitu pembudayaan kecerdasan buatan (AI) dalam pengajaran, pembelajaran dan pengurusan universiti.

Inisiatif seterusnya adalah Tanjung Laboh yang melibatkan pengoperasian lapangan terbang serta penerokaan perniagaan baharu, manakala Ibnu Battuta pula satu strategi baharu pengantarabangsaan termasuk pelantikan staf sebagai pegawai liaison, Digi-Propa iaitu pembudayaan pembelajaran berterusan dalam era digital serta Amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) dengan sasaran kampus bebas botol plastik sekali guna.

Menurut beliau, inisiatif tersebut distrukturkan di bawah tiga teras utama iaitu Transformasi Akademik dan Global, Inovasi Teknologi dan Operasi serta Kelestarian dan Kesejahteraan Kampus.

“Kita tidak boleh bergerak secara silo kerana transformasi akademik mesti seiring dengan inovasi teknologi dan operasi, manakala kesejahteraan warga serta kelestarian kampus perlu menjadi keutamaan.

“Inilah pendekatan menyeluruh yang akan memperkukuh daya saing UTHM di peringkat global,” jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau turut memperkenalkan Mantera GTU 2030 yang berteraskan tiga elemen utama iaitu keusahawanan (entrepreneurship), pendigitalan (digitalization) dan penyahkarbonan (decarbonization).

“Kita mahu melahirkan graduan technopreneur yang bukan sahaja kompeten dalam bidang teknikal, tetapi berjiwa usahawan, celik digital dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan warga universiti agar mengamalkan budaya amanah dalam setiap tugasan termasuk pengurusan masa bekerja, membuat keputusan tanpa diskriminasi, menjaga aset universiti, ketelusan data dan laporan serta memelihara hak pelajar dan rakan strategik.

Beliau dalam ucapannya menegaskan bahawa integriti dan akauntabiliti dalam setiap aspek pekerjaan merupakan kunci utama kejayaan organisasi.

“Amanah dalam pekerjaan bukan sekadar nilai moral, tetapi asas kepada keberkatan dan kelestarian institusi.

“Apabila kita menunaikan tanggungjawab dengan penuh integriti, dalam pengurusan masa, kuasa, kewangan, data dan hak manusia, mudah-mudahan barakah akan mengiringi setiap usaha kita,” katanya.

Amanat itu disampaikan sebagai komitmen kepimpinan universiti untuk memastikan UTHM terus relevan, berdaya tahan dan diberkati dalam mendepani cabaran pendidikan tinggi masa hadapan.

Majlis amanat yang berlangsung secara fizikal di Big stage, Aras 2, Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA) dan secara dalam talian menerusi platform YouTube ‘UTHMTV’ itu turut diselitkan dengan acara Penyerahan Buku SKTU 2026 kepada Ketua Kluster dan penyampaian Anugerah Good Governance Rating Tahun 2025 kepada pusat tanggungjawab (PTj) terpilih.

Turut diadakan, tayangan multimedia dan pengenalan kepada projek EduTourism UTHM, serta pelancaran Laman Web UTHM SDG GOALS dan penyampaian sijil penghargaan kepada kumpulan editor yang terlibat.