Oleh Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Norashidah Abd Rahman, Dr. Muhamad Helmy Sabtu, Ts. Dr. Ain Nazari

SINTOK – Keupayaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam membangunkan kemahiran dan bakat pelajar melalui kursus kokurikulum berkredit terus mendapat pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai ‘Naib Juara’ dalam pertandingan Pentas Seribu Ekspresi Satu Inovasi yang diadakan semasa berlangsungnya Karnival Inovasi Kokurikulum Madani Kebangsaan 2026 pada 7 hingga 9 Jun bertempat di Universiti Utara Malaysia.

UTHM berjaya mengatasi 10 kumpulan dari universiti awam yang lain melalui persembahan kesenian dan kebudayaan yang bertemakan elemen inovasi dan kreativiti dalam persembahan masing-masing.

Selain itu, UTHM juga turut memenangi ‘Anugerah Khas Ekspresi’ dan ‘Penghayatan Terbaik’ dalam pertandingan yang sama sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1500.

Pasukan “Senada Hussein” yang terdiri daripada 14 pelajar tahun pertama dan kedua yang mengikuti kursus kokurikulum berkredit menampilkan persembahan yang memukau juri dan penonton melalui nyanyian, tarian zapin serta pementasan teater yang menyulamkan elemen tradisi dan moden.

Mesej yang diangkat melalui pementasan tersebut adalah, golongan muda hari ini tidak wajar melupakan budaya dan tradisi Malaysia walaupun hidup dalam dunia serba moden yang dipandu oleh algoritma dan kecerdasan buatan.

Di sebalik kejayaan persembahan tersebut, para pelajar turut mempamerkan penguasaan kemahiran insaniah yang menjadi antara fokus utama kursus kokurikulum berkredit UTHM.

Sepanjang proses perancangan, latihan dan persediaan pertandingan, pelajar berpeluang mengasah kemahiran kepimpinan, komunikasi, kerjasama berpasukan, kreativiti serta keupayaan menyelesaikan masalah dalam memastikan setiap komponen persembahan dapat diselaraskan dengan baik.

Selain itu, pelajar juga berjaya meningkatkan kemahiran pengurusan masa, mengawal emosi dan menangani tekanan sepanjang tempoh persediaan pertandingan.

Menurut ketua kumpulan, Alya Nasywa Mat Arif pelajar dari kursus Kokurikum Berkredit Senitari Tradisi & Kreatif, kejayaan yang diraih merupakan hasil kesungguhan dan komitmen setiap ahli pasukan yang sentiasa bekerjasama dalam merealisasikan idea yang telah dirancang.

“Sepanjang tempoh latihan, kami berdepan pelbagai cabaran termasuk menyelaraskan jadual ahli kumpulan, menggabungkan idea kreatif dan memastikan setiap segmen persembahan dapat disampaikan dengan berkesan.

“Namun, melalui komunikasi yang baik, sikap saling menghormati dan semangat kerja berpasukan yang tinggi, kami berjaya mencari penyelesaian bagi setiap cabaran yang dihadapi.

“Pengalaman ini banyak mengajar kami tentang kepimpinan, toleransi, disiplin dan keyakinan diri,” katanya.

Sementara itu, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Norashidah Abd Rahman, Timbalan Dekan Kokurikulum, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK) pula berkata kejayaan itu membuktikan bahawa UTHM sebagai universiti peneraju pembangunan teknousahawan global sangat mementingkan pembangunan modal insan yang seimbang antara kemahiran teknikal dan kemahiran insaniah.

“Kejayaan ini menjadi manifestasi kepada keseriusan dan keberhasilan kami para penggerak kursus kokurikulum berkredit UTHM dalam menyediakan pelajar yang berkualiti tinggi dan berdaya saing.

“Melalui pertandingan seperti itu, para pelajar akan dididik untuk berdepan dengan khalayak, berdisiplin tinggi, berusaha dengan tekun, tidak menyerah kalah, bekerjasama dalam kumpulan, menguruskan emosi dan tekanan selain pembentukan sahsiah, karektor dan adab yang mulia” katanya.

Untuk rekod, karnival yang diisi dengan pelbagai aktiviti itu dianjurkan secara bersama oleh Majlis Kokurikulum Universiti Awam Malaysia (UniCC) dan Universiti Utara Malaysia sebagai satu wadah bagi mengumpulkan para pelajar dan penggerak kokurikulum di semua universiti awam dari seluruh Malaysia.