Oleh Dr. Mohd Faisal Hushim, Dalila Mohd Harun  

MUAR – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Cawangan Pagoh terus memperkukuh komitmen terhadap tanggungjawab sosial apabila warganya menyantuni warga emas dan orang kurang upaya (OKU) sempena meraikan Syawal pada tahun ini.

Bagi meneruskan hasrat berkongsi rezeki dan kegembiraan pada bulan Syawal, Exco Kebajikan dan Kesukarelawan, Majlis Kepimpinan Pelajar, Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP) telah menganjurkan Program Ziarah Kasih Aidilfitri bersama Pusat Jagaan Bakti Murni, Muar pada 11 April 2026 lalu.

Program berteraskan kesukarelawanan itu diadakan bagi menyantuni kira-kira 35 penghuni pusat jagaan berkenaan yang terdiri daripada golongan warga emas dan OKU.

Menurut pengarah program yang juga Exco Kebajikan dan Kesukarelawan, Maisarah Mazlan, pelbagai pengisian menarik telah diatur bagi memastikan para penghuni merasai kehangatan dan keceriaan Aidilfitri, tanpa merasakan mereka keseorangan dan dipinggirkan.

“Para peserta yang terdiri daripada mahasiswa UTHM telah menjalankan empat aktiviti utama bersama penghuni iaitu aktiviti membawa warga emas bersiar-siar di sekitar kawasan taman menggunakan kerusi roda, melakukan aktiviti senaman ringan, serta bermain permainan interaktif bagi memeriahkan lagi suasana.

“Kami juga mengambil peluang ini untuk beramah mesra dan berbual dengan mereka bagi mengimbau kembali nostalgia lama.

“Momen yang paling manis dan menyentuh hati adalah apabila kami secara sukarela menyuapkan makanan kepada warga emas ketika sesi makan tengah hari,” katanya.

Dalam masjlis yang sama, pihak penganjur turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada wakil pusat jagaan berkenaan.

Sesi penyerahan telah disempurnakan oleh Dr. Mohd Faisal Hushim, yang hadir selaku penasihat program dan wakil rasmi Pengetua KKKP.

Antara barangan makanan yang disumbangkan termasuklah pek hamper, beras, tepung gandum, gula, kopi, teh, biskut, sabun serta makanan tambahan kesihatan.

Kesemua sumbangan tersebut adalah hasil keprihatinan dan tajaan pelbagai pihak, termasuk Syarikat ADABI, Sekadar Haus-Sticky Milk, badan bukan kerajaan (NGO) Yayasan Isra’ Malaysia dan juga individu perseorangan.

Program ziarah sebegitu mampu memberikan impak yang sangat positif bukan sahaja kepada emosi warga emas yang diraikan, tetapi juga dalam melahirkan mahasiswa yang berempati tinggi.