BATU PAHAT – Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus membuktikan kecemerlangannya apabila berjaya mengekalkan pengiktirafan penuh sebagai Premier Digital Tech Institution (PDTI) bagi tempoh tiga tahun lagi daripada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).
Pengiktirafan itu diterima sempena Mesyuarat MD Premier Digital Tech Institution (PDTI) Q4 2025 yang berlangsung pada 4 Disember 2025 lalu.
Sesi berkenaan melibatkan libat urus antara pihak MDEC bersama institusi-institusi PDTI di seluruh negara bagi menilai pencapaian dan prestasi semasa institusi pendidikan tinggi dalam bidang digital.
Pengiktirafan yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2028 itu diberikan berdasarkan pencapaian cemerlang FSKTM dalam dua kriteria utama penilaian MDEC, iaitu Prestasi Keseluruhan Institusi dan Peratusan Kebolehpasaran Graduan.
Kejayaan itu membuktikan keupayaan FSKTM dalam mengekalkan piawaian pendidikan digital yang tinggi serta komitmen berterusan fakulti untuk melahirkan graduan yang kompeten, berkualiti dan berdaya saing selaras dengan kehendak industri semasa.
Terdahulu, penyelaras PDTI FSKTM, Muhammad Shukri Che Lah dan Dr. Shahdatunnaim Azmi telah melaksanakan pelbagai inisiatif strategik, pemantauan berterusan serta penyediaan dokumentasi yang memenuhi keperluan penilaian MDEC bagi memastikan pengiktirafan itu dapat dicapai.
“Ditambah dengan sokongan seluruh warga fakulti yang dipimpin oleh Dekan, Profesor Ts. Dr. Mohd Farhan Md. Fudzee turut menjadi pemacu utama dalam memastikan fakulti sentiasa berada pada tahap terbaik sepanjang proses penilaian dan pemantauan dijalankan,” kata Muhammad Shukri.
Sementara itu, Kelab Teknologi Maklumat (ITC) di bawah seliaan Suriawati Suparjoh turut mengharumkan nama FSKTM apabila berjaya menjuarai pertandingan ‘MD PDTI Tech Club Video Contest 2025’ anjuran MDEC.
Kemenangan tersebut sekali gus memperkukuh reputasi FSKTM sebagai fakulti yang aktif, kreatif dan inovatif dalam membangunkan bakat pelajar serta mewujudkan ekosistem digital yang dinamik dan berimpak tinggi.
Pengiktirafan PDTI dan kejayaan pelajar dalam pertandingan peringkat kebangsaan itu diharap menjadi pemangkin kepada FSKTM untuk terus unggul sebagai peneraju utama dalam bidang teknologi digital, bukan sahaja di peringkat nasional malah di persada antarabangsa.

