Membina sebuah organisasi yang sejahtera bukan hanya sekadar menyediakan kemudahan fizikal dan memacu kecemerlangan sahaja tetapi ia juga menuntut satu bentuk kepimpinan yang mampu menyantuni jiwa setiap warga yang menghuni organisasi tersebut iaitu kepimpinan yang berteraskan empati. Masa kini ada segelintir pemimpin yang berasa takut untuk menzahirkan empati kepada pekerja kerana bimbang akan “dipijak kepala”. Namun mereka lupa bahawa ketegasan tanpa ihsan hanyalah melahirkan pekerja tanpa jiwa. Empati adalah kemampuan individu untuk memahami perspektif orang lain dan bertindak dengan kebijaksanaan. Memimpin dengan berempati tidak bermakna membiarkan disiplin dilanggar sebaliknya kita membina disiplin berasaskan rasa hormat dan kasih sayang dan bukan ketakutan. Ia bermaksud pemimpin tahu bila masanya untuk menekan pedal minyak dan bila pula masanya untuk memberi ruang buat pekerja mereka bernafas. Ia adalah tentang memimpin dengan telinga yang mendengar bukan sekadar mulut yang mengarah.
Dalam dunia pekerjaan, sebagai seorang majikan kita membayar gaji untuk masa bekerja pekerja namun kita tidak berhak mencuri ketenangan jiwa mereka. Burnout, kemurungan dan rasa tidak dihargai adalah salah satu yang menyebabkan pekerja “berhenti secara diam.” Suasana kerja tanpa empati boleh menyebabkan kesetiaan akan dipertikai manakala kreativiti mula pudar dan akhirnya pejabat mungkin memiliki jasad pekerja tetapi tidak jiwa mereka.
Empati dan kesejahteraan
Kepimpinan empati ini akan menjadi jambatan yang menghubungkan di antara tugas dan kemanusiaan juga antara prestasi dan kesejahteraan. Kepentingan kepimpinan empati terserlah apabila kita menyedari bahawa kesejahteraan bukan isu sampingan tetapi teras kepada produktiviti. Apabila emosi tertekan, minda menjadi sukar untuk fokus, motivasi merosot dan hubungan sosial terjejas. Sebaliknya apabila pekerja berasa disokong, difahami dan selamat mereka lebih berdaya tahan, berani mencuba dan mampu berkembang. Kepimpinan empati membantu mewujudkan iklim psikologi yang selamat, yang mana pekerja berani bersuara, meminta bantuan dan berkongsi beban tanpa rasa takut dipersalahkan. Pekerja merasakan diri mereka dihargai bukan hanya atas sumbangan kerja tetapi juga sebagai seorang insan. Kesannya lahirlah komuniti organisasi yang saling menyokong, saling memahami dan bergerak seiring dalam menuju matlamat yang sama.
Elemen Kepimpinan Berempati
Kepimpinan berempati bukan bermaksud menjadi lembut sehingga pemimpin nampak seperti hilang taring. Ia adalah kebijaksanaan dalam mengurus manusia sebagai seorang manusia dan bukan sebagai sumber atau alat yang tidak mempunyai perasaan. Pemimpin berjiwa manusia akan sentiasa melakukan tindakan kecil tetapi memberi impak yang besar. Bersua muka secara berdepan, bertanya khabar secara tulus, memberi sokongan semasa krisis dan menghargai usaha lebih daripada sekadar menuai hasil. Pemimpin yang hebat adalah mereka yang tahu di sebalik setiap tugasan yang perlu diselesaikan oleh pekerjanya ada cerita di sebalik itu. Ada janji seorang ayah kepada anaknya yang perlu ditepati atau kegigihan seorang anak yang sedang menjaga ibu yang uzur. Berikut adalah beberapa elemen kepimpinan berempati yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin.
- Mendengar dengan aktif
Mendengar dengan aktif bukan sekadar mendengar suara melalui telinga dan memberi respon tetapi ia lebih kepada mendengar dengan jiwa. Ramai pemimpin hanya mendengar untuk mencari poin berhujah. Seorang pemimpin yang berempati mendengar untuk menyerap konteks bagi memahami emosi dan maksud tersirat di sebalik kata-kata. Pemimpin yang mendengar dengan aktif akan memberikan perhatian terhadap bahasa badan, perkara yang tidak diucapkan, nada suara yang bergetar atau rupa paras yang dipamerkan di sebalik perkataan “saya okey.”
- Kecerdasan emosi (EQ)
Pemimpin yang mempunyai kecerdasan emosi mempunyai kebolehan mengawal emosi sendiri dan memahami emosi orang lain. Pemimpin ini tahu bila masanya untuk menggunakan autoriti atau bertegas dan bila masanya untuk menggunakan ihsan atau memberi ruang. Pemimpin yang tinggi EQ juga tahu mengawal amarah sendiri apabila kerja yang diarahkan tidak sempurna seperti yang diharapkan dan pada masa sama mereka berupaya mengesan kegelisahan pekerja di bawah jagaannya.
- Pemikiran perspektif
Pemimpin yang mempunyai kemahiran ini mempunyai keupayaan meletakkan diri sendiri di dalam kasut orang lain. Sebelum menghukum, pemimpin akan melihat isu yang dihadapi dari sudut pandang orang lain. Dengan mengandaikan jika kita sebagai pekerja adakah kita mampu melakukan dengan lebih baik jika diberi bebanan yang sama. Sebagai seorang pemimpin kita perlu mengakui bahawa setiap pekerja mempunyai kehidupan dan cabaran hidup yang berbeza di luar waktu pejabat.
- Keikhlasan dan ketelusan
Elemen empati tidak boleh dibuat-buat. Ia lahir secara semula jadi dan memerlukan kejujuran dalam perhubungan supaya pekerja rasa selamat untuk bekerja. Keikhlasan bermaksud pemimpin benar-benar peduli manakala ketelusan bermaksud pemimpin berani berterus-terang tentang organisasi yang dipimpin.
Langkah praktikal untuk menerapkannya di pejabat
- Amalkan “Check-In” sebelum “Check-Out”
Kebanyakan pertemuan pemimpin dengan pekerja bermula dengan cerita projek dan tarikh akhir. Namun kepimpinan berempati akan memulakannya dengan elemen kemanusiaan. Sebagai seorang pemimpin cuba amalkan tingkah laku “check-in” dan “check-out”. Tindakan “check-out” adalah sebelum kita bertanya tentang status projek atau laporan mulakan dengan bertanya tentang keadaan diri pekerja (check-in). Luangkan lima minit pertama dalam pertemuan untuk bertanya khabar yang bersifat peribadi namun profesional, bertanya perkara yang mereka hadapi atau keadaan mereka serta keluarga mereka.
- Teknik menyiasat sebelum menghukum
Apabila seorang pekerja melakukan kesilapan atau menunjukkan kemerosotan prestasi, reaksi pertama pemimpin adalah marah. Teknik ini mengajar pemimpin untuk menggantikan sikap menghukum dengan sikap ingin tahu. Cuba praktikkan dengan menggantikan ayat negatif kepada yang lebih menyentuh emosi. Pendekatan Ini memberi ruang untuk pekerja mengaku kesilapan mereka tanpa rasa terancam dan mampu berkongsi isu yang dihadapi.
- Validasi perasaan bukan sahaja hasil
Lazimnya dalam organisasi kita sering meraikan kejayaan yang dicapai sahaja. Pemimpin yang mempunyai empati akan meraikan usaha terutama apabila berlaku kegagalan. Belajar untuk menghargai usaha dan emosi pekerja yang diletakkan dalam penghasilan sesuatu kerja terutamanya jika mereka gagal. Tindakan sebegini akan membuatkan mereka rasa dilihat sebagai manusia dan semangat mereka akan pulih lebih cepat.
- Fleksibiliti dan kemanusiaan
Sistem dan peraturan dalam sesebuah organisasi sememangnya penting tetapi ihsan jauh lebih utama dalam membina keharmonian. Peraturan dicipta untuk kelancaran kerja tetapi ihsan dipupuk untuk mengekalkan kesejahteraan. Jika pekerja menghadapi kecemasan keluarga atau urusan peribadi, berikan ruang tanpa membuatkan mereka rasa bersalah. Namun pemantauan masih boleh dilaksanakan tanpa menimbulkan rasa syak wasangka.
- Wujudkan ruang yang selamat
Pemimpin yang baik mampu menunjukkan contoh dengan mengakui kelemahan sendiri. Mengakulah jika kita juga melakukan kesilapan dan pekerja juga akan merasa selamat untuk mengaku atas kesilapan yang mereka telah lakukan.
Kesimpulannya, pekerja tidak memerlukan pemimpin yang hebat bercakap di atas pentas semata-mata. Mereka memerlukan manusia yang tahu membezakan di antara staf yang malas dengan staf yang sebenarnya sudah terlalu penat bertahan. Mereka mahukan pemimpin yang boleh buat diri mereka merasa selamat bukan merasa terancam. Pejabat yang sarat dengan elemen empati bukan sahaja mewujudkan suasana lebih bahagia tetapi melahirkan pekerja jauh lebih produktif kerana mereka tidak bekerja dalam ketakutan. Kepimpinan bukan hanya tentang berapa ramai orang takut dengan kita tetapi lebih kepada berapa ramai yang rasa selamat di bawah kepimpinan kita. Sebelum meninggalkan pejabat tanyalah diri sendiri sudahkah kita memanusiakan manusia hari ini? Kerana manusia akan melupakan apa yang kita arahkan tetapi mereka tidak akan lupa bagaimana kita membuatkan mereka rasa dihargai.

Dr. Noraishah Daud
Pengarah
Pusat Kaunseling Universiti
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
.
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Bernama (bernama.com), 20 Mei 2026: Masih Wujudkah Kepimpinan Berempati Di Tempat Kerja?
