Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT, 4 Dis 2023 – “Hasrat untuk membanggakan ibu bapa saya ketika bergraduasi menjadi impian terulung saya sejak memulakan pengajian di UTHM.

“Lalu saya meletakkan sasaran untuk memperoleh GPA 4.0 setiap semester walaupun tetap bergiat aktif dalam bidang kokurikulum,” kata Muhammad Izzat Shazwan Rozlin.

Muhammad Izzat, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Harta Tanah dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) menerima Anugerah Sultan Ibrahim semasa berlangsungnya Sidang Satu, Istiadat Konvokesyen UTHM ke-23 pada 2 Disember 2023.

Menurut Muhammad Izzat, pada awalnya dia meminati jurusan sains tulen terutamanya subjek biologi sejak di bangku sekolah menengah sehinggalah di matrikulasi.

Tetapi selepas membaca buku berkenaan hartanah, dia semakin berminat untuk mendalami bidang tersebut dan terfikir akan titik persilangan antara dua bidang hartanah dan sains.

“Saya terfikir jika pemikiran kritikal pada subjek sains diterapkan pada jurusan hartanah, maka ia akan mampu menghasilkan sesuatu inovasi yang lebih kreatif dan memberi impak.

“Cita-cita saya untuk menemukan titik persilangan dua cabang ilmu tersebut telah berjaya setelah kajian saya berkenaan aplikasi kecerdasan buatan dalam hartanah telah memenangi beberapa anugerah di peringkat antarabangsa,” katanya.

Muhammad Izzat pernah meraih anugerah gangsa dalam Built Environment Undergraduate Research Competition 2022 anjuran Universiti Malaya peringkat kebangsaan dan juga pembentang terbaik bagi ‘RISM: 15th Undergraduate Research Conference’ peringkat kebangsaan.

Dia juga berjaya memperoleh tempat pertama dalam pertandingan Technology Research Competition (TRC 2022) peringkat universiti, yang mana dia telah mengetengahkan idea inovasi digital bagi kerja-kerja agensi hartanah. 

Minat yang mendalam terhadap jurusan hartanah juga menjadi titik tolak kepada penglibatan Muhammad Izzat sebagai perunding hartanah secara sambilan yang berdaftar di bawah Board of Valuers, Appraisers, Estate Agent and Property Managers (BOVEAPM) walaupun ketika sedang belajar.

“Kerja sambilan saya sebagai perunding hartanah secara tidak langsung membenarkan saya untuk lebih faham berkenaan hartanah secara teori dan praktikal,” katanya.

Selain ingin cemerlang dalam bidang akademik, Muhammad Izzat juga terlibat dalam kepimpinan kelab fakulti dan aktif merangka program-program yang melibatkan kerjasama universiti dan industri hartanah.

“Saya memegang jawatan pengarah program bagi program kesukarelawan Malaysian Urban Forum peringkat kebangsaan, Real Estate Week 2020, Mental Health Awareness and Resilient Model dan beberapa program lain yang melibatkan kolaborasi pelajar hartanah dengan beberapa universiti awam di negara ini.

Muhammad Izzat juga turut memegang jawatan Timbalan Pengerusi Realtors bagi kelab fakulti dan ahli aktif Technology and Business Management Club (TMB).

“Kecemerlangan saya dalam akademik dan kokurikulum juga dapat dibuktikan apabila diiktiraf sebagai pelajar terbaik Royal Institution of Surveyors Malaysia dengan menerima RISM Gold Medal Award, Ravindra Dass Best Student Award dan pemenang Anugerah Ikon fakulti,” katanya.

Muhammad Izzat turut berpesan kepada bakal graduan di luar sana agar percaya dan yakin bahawa pemikiran kritikal adalah kunci utama untuk mendalami asas sesuatu ilmu secara total.

“Sentiasalah bertanya soalan kepada pensyarah, rajin mengulang kaji pelajaran selain sentiasa berkongsi ilmu dengan rakan-rakan untuk meningkatkan lagi kefahaman dalam pembelajaran.

“Rakan-rakan juga perlu memasang niat untuk membalas jasa dan membanggakan ibu bapa agar setiap usaha yang diterjemahkan mendapat reda dan keberkatan Tuhan,” katanya.

 

Muhammad Izzat (kanan) bersama Pro-Canselor UTHM, Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani dan dua rakan penerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang).