Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT, 3 Dis 2023 – Sebagai tanda prihatin terhadap kebajikan pelajarnya, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pusat Islam dan Pusat Wakaf & Endowmen telah memberi sumbangan kepada enam pelajar Palestin.

Pusat Islam telah menyerahkan sumbangan bernilai RM25,929 bagi penajaan yuran pengajian pelajar Palestin Semester I Sesi 2023/2024.

Manakala Pusat Wakaf dan Endowmen pula menyerahkan sumbangan sara hidup berjumlah RM22,800 untuk tempoh enam bulan bermula pada Disember 2023  sehingga Mei 2024 akan datang.

Sumbangan disampaikan oleh Pengarah Pusat Islam UTHM, Ustaz Mohd Lotfi Solihan dan Pengarah Pusat Wakaf dan Endowmen, Haizal Ahmad @ Mohamad sambil disaksikan Naib Canselor UTHM, Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengumumkan pengecualian bayaran yuran pengajian kepada pelajar Palestin yang sedang menuntut di universiti awam (UA) di negara ini untuk tempoh setahun bermula serta-merta.

Tajaan tersebut sebagai tanda keprihatinan warga UTHM dalam menyokong isu kemanusiaan sejagat dan seterusnya menyokong pendirian kerajaan bagi memastikan ‘sokongan penyelesaian praktikal’ dapat dicapai.

Sumbangan yang diberikan itu juga diharap dapat meringankan beban dan menaikkan lagi semangat mereka untuk meneruskan pengajian di UTHM.