MAINJ sumbang RM18 ribu kepada pelajar Palestin UTHM

Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT, 3 Dis 2023 – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) telah menyumbang zakat berjumlah RM18 ribu kepada enam pelajar Palestin Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Penyerahan zakat tersebut disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid sambil disaksikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor dan Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Sumbangan tersebut merupakan tanda solidariti dan keprihatinan pihak MAINJ bagi membantu meringankan beban pelajar Palestin di UTHM.

“Sumbangan ini diharap dapat memberi sedikit kegembiraan kepada semua pelajar Palestin dalam mendepani konflik Israel-Palestin,” kata Mohd Fared.

Turut sama menyaksikan penyerahan tersebut, Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dan Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Ir.  Dr. Ruzairi Abdul Rahim.

Penyerahan tersebut diadakan sejurus selesai Sidang Khas Istiadat Konvokesyen UTHM Kali ke-23 pada 2 Disember 2023.

 

Categories
Berita Umum
Subscribe