Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT, 2 Feb 2024 – Profesor Dr. Shahruddin Mahzan @ Mohd Zin dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang baharu bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa pada 1 Februari 2024 sehingga 30 Januari 2026.

Pelantikan yang dibuat oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir itu adalah bagi mengisi jawatan yang sebelum ini disandang oleh Profesor Dr. Azme Khamis yang telah tamat tempoh lantikannya.

Menyingkap kepimpinannya yang terdahulu, Prof. Shahruddin sebelum ini berkhidmat sebagai Dekan Pusat Pengajian Siswazah (CGS).

Sebelum itu, beliau merupakan Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) dari tahun 2015 sehingga tahun 2020.

Untuk rekod, Prof. Shahruddin memperoleh Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1999.

Beliau memulakan kerjaya sebagai Jurutera Mekanikal di Sharp-Roxy Electronics Corporation (SREC) Sdn. Bhd. pada Januari 1999, sebelum mula berkhidmat di UTHM pada Ogos 2002.

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di University of Sheffield, United Kingdom (UK) dan memperoleh ijazah dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal pada tahun 2007.

Prof.  Shahruddin turut menganggotai beberapa badan tempatan dan antarabangsa antaranya Chartered Engineer (CEng) of the Institution of Materials, Mining and Minerals (I-M3), UK dan juga ahli Board of Engineers (BEM) Malaysia.

Selain itu, Profesor dari FKMP itu juga turut menyelia Program Pasca Siswazah dari tahun 2021 sehingga kini.

Beliau juga merupakan Penyelidik Utama di Centre for Non-Destructive Testing (CeNDTec) dan Penyelidik Gabungan di Functional Composites Structure (FCS) dan Structural Integrity and Monitoring Research Group (SiMREG).

Kesibukan harian tidak menghalang beliau untuk terus berkongsi ilmu menerusi pelbagai penerbitan teknikal dalam jurnal bereputasi tinggi dan juga prosiding.

Fokus bidang penyelidikannya bertumpu kepada bidang ‘Damage Detection, Composites and Structural Health Monitoring,’ selain turut menyelia puluhan pelajar prasiswazah dan pascasiswazah.

Sehingga hari ini, beliau telah menyelia 11 pelajar PhD, sembilan pelajar sarjana dan lebih daripada 65 pelajar program sarjana muda.

Sementara itu, Naib Canselor, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim mewakili seluruh warga UTHM mengucapkan tahniah atas pelantikan tersebut dan berharap Prof. Shahruddin dapat menyumbang idea, tenaga dan kepakarannya demi membantu meningkatkan kecemerlangan universiti.

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 8 Februari 2024: Dr. Shahruddin Mahzan, Timbalan Naib Canselor UTHM yang baharu

https://malaysiagazette.com/2024/02/08/dr-shahruddin-mahzan-timbalan-naib-canselor-uthm-yang-baharu/