TANGKAK – Bagi membantu merealisasikan hasrat kerajaan dalam meningkatkan jumlah pelajar aliran Sains, 16 pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Cawangan Pagoh bersama empat pensyarah menganjurkan program ‘STEMtastik Junior 2023’ pada 9 September 2023 lalu bertempat di Sekolah Kebangsaan Sawah Ring, Tangkak, Johor.

Program itu diadakan untuk menarik minat para pelajar sekolah seawal usia tujuh tahun untuk menceburi bidang Science, Technology, Engineering and Mathematic (STEM) sekali gus dapat menjadikan bidang ini sebagai kerjaya pada masa hadapan.

Program dengan kejasama Pertubuhan Ikram Kawasan Tangkak itu melibatkan penyertaan 52 pelajar sekolah rendah dari seluruh daerah di Johor.

Menurut pengarah program, Muhammad Ukasyah Irfan Mat Rahimi Polisi nisbah 60:40 antara sains teknikal dan sastera belum tercapai dan hanya 15.2 peratus pelajar tingkatan empat memilih aliran sains pada sesi persekolahan 2023/2024.

“Sistem pendidikan negara Malaysia kini berdepan dengan cabaran untuk menyediakan tenaga kerja mahir yang mampu beradaptasi dengan kepesatan pembangunan teknologi revolusi industri 4.0.

“Inilah sebabnya anak-anak perlu disiapsiagakan dari peringkat sekolah rendah lagi dengan ilmu yang dinamik, kevarsitian kemahiran dan sahsiah yang kulliyah (universal) supaya mereka dapat memacu negara pada masa hadapan,” katanya.

Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan dengan aktiviti hands-on dan beberapa permainan yang menarik untuk memudahkan mereka memahami ilmu sains dan matematik yang dipelajari di dalam kelas.

Antara pengisiannya, kemahiran mencerap makhluk organisma, teknologi internet kebendaan, kitar hidup haiwan, tindak balas kimia dan kaedah mudah matematik.

“Penganjuran program ini diharap dapat diteruskan lagi oleh pelbagai pihak di peringkat lapangan bagi membantu meningkatkan tahap daya fikir, kreativiti dan inovasi para pelajar sekolah, seterusnya menggalakkan lagi pembudayaan ilmu dalam kalangan masyarakat,” kata Ukasyah.