Oleh Ts. Dr. Ariff Nazri

Program pendidikan dan kesedaran kelestarian sungai yang dikenali sebagai “River Rangers @ Iskandar Puteri” berjaya meningkatkan kesedaran komuniti berkaitan kelestarian Sungai Melana di Johor Bahru.

Program tersebut diketuai oleh Ts. Dr. Mohd Ariff Ahmad Nazri dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB) bersama beberapa rakan penyelidik dari EcoHytech Research Centre dan Micro-pollutant Research Centre, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Menurut Dr. Ariff, objektif utama program tersebut adalah untuk memperkenalkan peserta berkaitan kaedah mudah untuk memantau dan menguji tahap kesihatan dan kualiti air Sungai Melana.

“Ini dicapai melalui penggunaan UjiMakro Kit yang mencakupi pengukuran fizikal, kimia, dan biologi.

“Program ini turut memperkenalkan peserta kepada kepelbagaian hidupan makroinvertebrata yang hidup di dasar sungai.

“Kaedah ini adalah lebih praktikal kerana peserta boleh menghasilkan hasil analisis secara langsung tanpa perlu ke makmal selain lebih mesra alam dan mesra pengguna,” katanya.

Program yang dibiayai Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon 3.0 itu melibatkan penyertaan peserta dari 21 sekolah sekitar Johor Bahru serta beberapa agensi.

Antara agensi utama yang terlibat, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Johor, Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Johor Bahru, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru, Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor, dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.

Tambah Dr. Ariff, keberkesanan UjiMakro Kit telah dibuktikan melalui dua sesi program yang telah berlangsung pada 6 September dan 4 Oktober 2023 lalu.

“Kit ini adalah mudah digunakan dan menjadi pilihan terbaik bagi program ini kerana peserta dapat mengalami sendiri proses pengambilan sampel, pengujian, analisis, dan penentuan kualiti air sungai.

“Kejayaan ini juga telah diiktiraf dengan penganugerahan pingat emas dalam Simposium dan Pameran Penyelidikan dan Inovasi Antarabangsa 2023 (RISE 2023) yang berlangsung pada 18 – 19 Oktober 2023 lalu,” katanya.

Selain itu, bagi memastikan kejayaan program ini, setiap sekolah yang terlibat telah diberikan satu set lengkap UjiMakro Kit.

Pemberian kit tersebut bagi membolehkan mereka melaksanakan aktiviti serupa di peringkat sekolah masing-masing dan menjadikan pembelajaran sepanjang hayat sebagai satu aspek penting dalam pendidikan mereka.

Program “River Rangers @ Iskandar Puteri” antara contoh terbaik tentang bagaimana pendidikan, kerjasama komuniti dan pengalaman praktikal boleh membentuk komuniti dan generasi yang lebih peka terhadap kelestarian alam sekitar.

“Inisiatif seperti ini berupaya membuka jalan kepada Iskandar Puteri untuk bersama-sama berusaha ke arah masa depan yang lebih Lestari,” ujar Dr. Ariff.

 

Peserta sedang menjalankan pengujian sampel air sungai melalui kaedah kimia ringkas.
Pengumpulan haiwan makroinvertebrata yang diperoleh dari dalam sungai.
Makroinvertebrata yang dikumpulkan dibawa untuk pengecaman jenis dan spesis bagi mengira skor tahap kualiti air Sungai Melana.