Oleh PM Dr. Khairunesa Isa, Dr. Lutfan Jaes

BATU PAHAT – Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program ‘Advokasi Keselamatan Makanan’ di Kampung Parit Jelutong, Parit Raja, Batu Pahat pada 7 hingga 8 Oktober 2023 lalu.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hal ehwal kepenggunaan, kepentingan bekalan makanan berkhasiat dan mengatasi ketidakcukupan bekalan makanan yang semakin serius dalam kalangan penduduk setempat.

Program anjuran Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA) dengan kerjasama Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK), UTHM , serta Jawatankuasa Kampung Parit Jelutong itu turut melibatkan komuniti sekitarnya.

Pelbagai aktiviti dijalankan antaranya forum bual bicara, pameran serta pemeriksaan kesihatan, sesi perkongsian menguruskan sisa makanan, aktiviti “buat sendiri (DIY)” dan pertandingan turut diadakan melibatkan lebih 50 peserta terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan jantina.

Selain panel dari UTHM dan KPDN, perkongsian program bual bicara dan forum tersebut turut melibatkan panel jemputan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Klinik Kesihatan, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia.

Program Bual Bicara yang bertajuk “Menu Jimat, Boleh Sihat ke?” bertujuan memberi pendedahan mengenai amalan pemakanan yang betul dan sihat. Dalam forum itu, pengambilan makanan dengan konsep suku-suku separuh ditekankan sebagai satu cara memastikan diet yang seimbang.

Panel jemputan, antaranya Pegawai Sains Pemakanan dari Klinik Kesihatan Batu Pahat, telah menyuarakan kepentingan menjaga kuantiti makanan dan kaedah memasak yang baik sebagai formula utama dalam memastikan tahap kesihatan dapat dikekalkan walaupun sudah berusia.

Penganjuran program ‘Advokasi Keselamatan Makanan’ itu merupakan salah satu usaha penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu keselamatan makanan dan memastikan bekalan makanan yang berkualiti untuk penduduk tempatan.

Menurut Ketua Kampung, Zaili Saiman, makanan yang selamat adalah asas kepada kesihatan dan kesejahteraan masyarakat, makanya penganjuran program sebegitu dapat memberi peluang memahami bagaimana cara menjaga diri dan keluarga melalui pemakanan yang betul dan berkualiti.

Manakala Forum “Pengguna Era Medsos: Apa Perlu Tahu?” pula diadakan bertujuan memberi kesedaran kepada peserta mengenai isu keselamatan, privasi dan pemahaman terhadap penggunaan media sosial dalam era digital selain menyediakan platform bagi perkongsian.

Forum “Pastikan Benar, Tidak Pasti Jangan Kongsi” pula dadakan untuk memberi kesedaran berkaitan kepentingan melakukan penilaian kritikal terhadap maklumat selain mengelakkan penyebaran berita palsu, dalam rangka mengurangkan penyebaran disinformasi di platform media sosial.

Program tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan tentang keselamatan makanan dalam kalangan masyarakat setempat dengan melibatkan usaha sama komuniti, serta sejajar dengan hal ehwal pengguna.

Sementara itu, Profesor Madya Dr. Khairunesa Isa, wakil Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA) pula berkata melalui program tersebut, masyarakat akan lebih memahami pemakanan yang sihat dan berkualiti, sekali gus memberi kesan positif kepada kesihatan dan kesejahteraan mereka.

Hadir sama ke program tersebut, Dekan PPUK, Dr. Lutfan Jaes.

Beliau berharap melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan itu dapat memberikan maklumat yang berguna dan praktikal kepada semua yang terlibat.

“Diharapkan program ini akan memberi manfaat kepada komuniti di Kampung Parit Jelutong dan sekitarnya dalam mewujudkan pemakanan yang lebih sihat berkualiti dan pengguna bijak,” katanya.