BATU PAHAT– Bagi menjalinkan hubungan universiti dengan komuniti melalui dunia pendidikan, seramai 70  pelajar dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengambil inisiatif menganjurkan program ‘Corporate Social Responsibility (CSR) Jalinan Ilmu FPTV’ bersama Sekolah Kebangsaan Senggarang, Senggarang pada 12 Disember 2023 lalu.

Program tersebut merupakan program kerjasama antara Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang dan Sekolah kebangsaan Senggarang di bawah anjuran Program Sarjana Muda Pendidikan Vokasional (Multimedia Kreatif) semester 1, sesi 2023/2024 yang berslogankan “Creativity Through Arts.”

Program CSR di bawah pimpinan pensyarah, Md Azani Sham dan Usuloudin Hamzah itu melibatkan 82 peserta dari enam sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Senggarang, Sekolah Kebangsaan Banang Jaya, Sekolah Kebangsaan Kampung Baru, Sekolah Kebangsaan Parit Kemang, Sekolah Kebangsaan Seri Pandan, Senggarang.

Penganjurannya bertujuan untuk berkongsi ilmu pengetahuan mengenai penghasilan seni visual secara tradisional dan digital kepada peserta.

Antara aktiviti yang dijalankan, gimik pelancaran penyempurnaan lukisan mural bertemakan ‘I love Sport,’ pertandingan melukis dan mewarna bagi pelajar sekolah rendah dan untuk pameran hasil kerja  pelajar UTHM sepanjang 10 minggu kuliah.

Manakala untuk warga pendidik pula, satu kursus penggunaan perisian Canva for Educator’s melibatkan penceramah, Md Azani Sham, penasihat program yang bertajuk Designer Thingking dan diikuti dengan penggunaan perisian Canva dalam pendidikan yang daripada peringkat asas sehingga peringkat tertinggi dalam menghasilkan bahan berbentuk animasi yang dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar Kursus Reka Bentuk Grafik Digital.

ADUN Senggarang, YB Mohd Yusla Ismail hadir menyempurnakan majlis perasmian yang diadakan pada hari yang sama sekali gus melancarkan lukisan mural bertemakan ‘I love Sport’ di sekolah terbabit.

Beliau dalam ucapannya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada penganjur kerana berjaya mengadakan program yang sangat bermanfaat seumpama itu.

”Penganjuran program seperti ini sangat relevan pada masa kini kerana ia dapat memberi pendedahan dan meningkatkan kemahiran dalam seni reka bentuk grafik secara tradisional dan digital kepada guru dan pelajar sekolah.

“Terima kasih kepada FPTV, UTHM dan pihak sekolah atas inisiatif tersebut dan saya amat berharap program seperti ini dapat diteruskan lagi sekali gus menjadi satu elemen penyatuan antara UTHM dengan sekolah-sekolah sekitar daerah Batu Pahat,” katanya.