Oleh Dr. Mohd Faisal Hushim, Ts. Suhairi Ismail, Ts. Dr. Md Norrizam Mohmad Ja’at @ Mohd Noh

LIPIS – Bagi menyantuni dan membantu masyarakat Orang Asli, Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyumbang 60 naskah al-Quran kepada penduduk Orang Asli Kampung Temetong, Pahang melalui Program Curahan Amal Bakti pada akhir Disember 2023 lalu.

Selain sumbangan al-Quran, beberapa aktiviti turut dijalankan antaranya bacaan zikir beramai-ramai, pemberian sumbangan set telekung, kopiah, buku bacaan iqra’, pakaian dan juga makanan keperluan.

Program yang bertemakan dakwah dan kebajikan itu merupakan satu program kesukarelawanan yang dijalankan di luar kawasan kolej kediaman yang berfokuskan kemasyarakatan dan kesejahteraan komuniti.

Program Curahan Amal Bakti tersebut merupakan salah satu inisiatif yang bertujuan memberi sumbangan dan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Penasihat Program Curahan Amal Bakti, Dr. Mohd Faisal Hushim merangkap Timbalan Pengetua 1 KKKP berkata sumbangan Al-Quran itu adalah sebahagian daripada amal bakti KKKP untuk membantu meningkatkan pemahaman dan penghayatan Al-Quran dalam kalangan masyarakatmasyarakat Orang Asli.

“Program ini juga bertujuan untuk menzahirkan keprihatinan UTHM sekali gus mengeratkan hubungan persaudaraan antara para pelajar dan penduduk Orang Asli.

“Kami juga berharap ia akan memberi manfaat kepada penduduk Orang Asli dan menjadi motivasi kepada mereka untuk terus belajar dan menghayati al-Quran sebagai sumber ilmu dan hidayah,” katanya.

Selain itu, program ini dilaksanakan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar UTHM mengenai budaya dan gaya hidup masyarakat Orang Asli.

Penganjuran program itu juga bertunjangkan teras kesukarelawanan (kesejahteraan komuniti) dan mempraktikkan elemen ‘Global’ yang merupakan salah satu elemen GRITT, yang mana ianya seiring dengan hala tuju UTHM ke arah Global Technopreneur University 2030 (GTU 2030).

Di samping itu, program seumpama itu juga mampu meningkatkan sifat keprihatinan mahasiswa UTHM terhadap komuniti dan alam sekitar selaras dengan objektif universiti, UTHM Prihatin.