BATU PAHAT – Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan ABIM Batu Pahat sekali lagi menganjurkan Kempen Sumbangan Sekampit Beras (KSSB) bersempena bulan Ramadan al-Mubarak bagi edisi 2026/1447H, yang melibatkan pemberian sumbangan kepada golongan B40, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU).
Program kali ini bertumpu kepada 265 keluarga di Mukim Minyak Beku dan Mukim Kampung Baru, Batu Bahat.
Keluarga yang terlibat telah menerima pek sumbangan berupa keperluan harian dan juga wang tunai yang disumbangkan oleh pihak ABIM, Parlimen Batu Pahat dan Pusat Islam UTHM.
FKEE yang diketuai Dekannya, Profesor Ts. Dr. Asmarashid Ponniran telah terlibat dalam dua fasa agihan sumbangan iaitu pada 28 Februari 2026 dan 7 Mac 2026 yang melibatkan seramai 115 sukarelawan.
Selain ABIM Batu Pahat dan Jawatankuasa Kebajikan Pelajar dan Kesukarelawan (JKKK), Kelab Kejuruteraan Elektrik (KKE) dan Kelab Staf FKEE (KsFKEE), program itu turut melibatkan penyertaan Kumpulan Pelajar Islam Johor (KPIJ) Batu Pahat, TVET MARA Sri Gading, sukarelawan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Global Peace Mission (GPM).
Sementara itu, majlis pelancaran program pula telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batu Pahat, YB Haji Onn Abu Bakar.
Beliau dalam ucapannya berkata, selain mengeratkan hubungan antara rakan kerjasama dan para sukarelawan, program seumpama itu diharapkan dapat membantu lebih ramai golongan kurang berkemampuan, selain memberi dorongan kepada mereka untuk terus bangkit dan menjalani kehidupan dengan lebih baik.
“Setinggi-tinggi terima kasih diucapkan kepada para penyumbang, rakan kerjasama, jawatankuasa pelaksana, pihak sekolah serta para sukarelawan atas komitmen dan sokongan padu yang telah diberikan sepanjang program ini berlangsung,” katanya.

