BATU PAHAT, 18 Mac 2026 – Kelab Warisan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Bahagian Kebudayaan Pusat Sukan dan Kebudayaan Universiti telah melaksanakan program kebajikan peringkat kebangsaan bertemakan “Derma Bantuan Sekampit Beras, Sejambak Kasih Ramadan” bagi menyantuni asnaf seluruh negara.

Program itu bertujuan menghulurkan bantuan berupa barangan keperluan asas dan wang tunai kepada golongan asnaf serta keluarga miskin di tujuh negeri dan lapan daerah bagi membantu persiapan Aidilfitri.

Sebanyak lapan lokasi strategik telah dipilih sebagai pusat agihan iaitu Kampung Baru, Kuala Lumpur; Utan Aji, Perlis; Kota Kinabalu, Sabah; Masjid Tanah, Melaka; Alor Setar, Kedah; Gelang Patah, Johor; Kota Bharu, Kelantan dan Batu Pahat, Johor.

Bantuan yang disalurkan merangkumi set keperluan dapur seperti beras dan barangan asas bagi meringankan beban isi rumah.

Majoriti penerima yang ditemui menzahirkan rasa syukur dan terharu atas keprihatinan para mahasiswa yang turun padang menyantuni mereka di saat kos sara hidup yang kian meningkat.

Menurut Penasihat Kelab Warisan, Rosdi Abdullah program itu merupakan tradisi tahunan yang wajib dilaksanakan oleh kelab sebagai platform menabur budi kepada masyarakat.

“Walaupun pelajar masih dalam cuti semester, pihak kami tidak mahu melepaskan peluang ini.

“Kami menggerakkan program peringkat kebangsaan agar ahli kelab di seluruh Malaysia dapat memberi manfaat terus kepada komuniti di sekitar kawasan kediaman mereka sendiri,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Warisan, Aiman Syauqie Razali turut berkongsi rasa teruja apabila program tersebut berjaya dilaksanakan walaupun mahasiswa berada di luar kampus.

“Program sebegini mampu memberi keinsafan yang mendalam dalam diri kerana ia mengajar kami tentang rasa peduli kepada masyarakat yang sedang bergelut dengan kesusahan hidup.

“Ini adalah tanggungjawab moral kami sebagai mahasiswa untuk membantu,” katanya.

Program ini membuktikan komitmen berterusan Kelab Warisan UTHM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah mempunyai jati diri dan empati yang tinggi terhadap masyarakat.