Enam tahun perjalanan PhD, Asnidatul tabah hilang ibu,ayah dan dua abang

Oleh Noor Nasriq Selamat, Suriayati Baharom

Dalam tempoh enam tahun mengharungi pengajian peringkat ijazah doktor falsafah (PhD), Dr. Asnidatul Adilah Ismail, graduan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) menghadapi detik paling sukar dalam hidupnya apabila diuji dengan kehilangan ibu, ayah dan dua abang yang amat disayangi.

Menurut Asnidatul, sejak melapor diri sebagai pelajar pada tahun 2017, dia diuji dengan keadaan kesihatan anak-anak yang memaksa dia untuk bergilir-gilir dengan suami menjaga mereka di hospital.

Manakala pada pertengahan tahun 2018, ibunya pula ditimpa musibah apabila tulang tangan ibunya terkeluar dari kedudukan asal. 

Setelah kesihatan ibu semakin baik, Asnidatul dikejutkan pula dengan pemergian seorang abangnya ke alam abadi tanpa ada sebarang tanda-tanda awal.

“Menjelang Aidiladha tahun yang sama, ibu pula dipanggil pulang setelah 42 hari kematian abang saya.

“Belumpun hilang trauma kehilangan ibu dan abang, awal tahun 2019 abang sulung saya diserang strok sebanyak dua kali,” ceritanya.

Tidak cukup dengan itu, pada hujung 2019 ayahnya pula dimasukkan ke hospital dan menjalani pembedahan pembuangan hempedu. 

Semua yang berlaku itu sangat mengganggu fokus dan perhatian Asnidatul terhadap pengajiannya.

Ketika dunia diserang virus Covid-19, Asnidatul langsung tidak berkesempatan untuk pulang menjenguk keluarga di kampung dan akhirnya mimpi ngeri menjelma lagi apabila dia mendapat berita tentang ayahnya dijangkiti Covid-19 pada Oktober 2021.

Selepas 21 hari ditidurkan, giliran ayahnya pula dijemput Ilahi, menjadikan dunianya gelap seketika dirundung duka yang berpanjangan.

Hari berganti hari, pada tahun 2022 Asnidatul sekali lagi diuji apabila suami tercinta pula ditimpa musibah. 

Segalanya bermula apabila suaminya terjatuh di dalam tandas dan terpaksa menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala dan memerlukan satu bulan untuk pulih. 

Dugaan Asnidatul tidak terhenti di situ apabila empat hari sebelum menjalani sesi ‘Mock Viva,’ seorang lagi abangnya telah dijemput ke negeri abadi. 

“Kehilangan mereka yang tersayang dan diuji dengan kesihatan keluarga yang kurang baik menjadikan saya lebih cekal untuk meneruskan perjuangan hingga akhir.

“Syukur kerana Allah izinkan juga tangan ini menggenggam segulung ijazah PhD pada hari ini walaupun dengan hati yang luka.

“Kepada semua bakal graduan di luar sana, jangan pernah menyerah, jangan pernah menyesal, teruskanlah berjalan walaupun perlu merangkak untuk mencapai apa yang diinginkan,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada penyelia, Prof. Ts. Dr. Razali Hassan kerana banyak membantu dan tetap percaya kepadanya selama bergelar pelajar seliaan. 

“Terima kasih juga kepada staf serta pensyarah FPTV atas setiap bantuan dan pertolongan dalam melengkapkan perjalanan PhD saya.

“Pada hari bersejarah ini saya agak sedih tanpa kehadiran insan-insan yang disayangi, namun saya tetap reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Asnidatul bersama penyelianya, Prof. Ts. Dr. Razali Hassan.

Categories
Pendidikan Teknikal Vokasional
Subscribe